Penerbitan Ezora

Penggambaran drama Ezora memakan masa kira-kira tiga bulan bermula April 2008. Pengarah Ahmad Idham menerangkan bahawa Ezora diilhamkan setelah mengambil format dari drama bersiri Mexico. "Melalui format drama luar itu, saya buat semula mengikut acuan menepati ciri-ciri orang yang terdapat di Malaysia dari segi agama, budaya dan sebagainya. Apa yang mencabar tentang Ezora adalah ia lebih kepada 'lipatan' ceritanya. Saya kena 'blend' cerita itu agar tidak menjadi isu yang 'klise'. Susah juga untuk 'Islam'kan format cerita asal itu."[1]

Idham juga menjelaskan bahawa penulisan lakon layar Ezora memikirkan Fazura selaku pemegang watak utama. Fazura pula perasan banyaknya persamaan antara dirinya dengan watak Ezora setelah meneliti skripnya. "Walaupun berbeza latar belakang, tetapi keazaman dan kekuatan batin Ezora memang mengagumkan saya."[3]

Dynas yang memegang watak Lisa menceritakan bagaimana beliau memperoleh peranannya: "Saya memang ditawarkan watak Lisa iaitu adik kepada Ezora. Idham terangkan kepada saya yang beliau nak pelakon berwajah seiras dengan Fazura. Saya melihat tawaran ini dalam jangka masa panjang dan Idham menawarkan saya berlakon dengan cara yang baik."[1]