Sinopsis Ezora

Drama ini bermula dengan kisah Ezora dari keluarga yang kurang berada menghadapi masalah semasa persediaan perkahwinannya dengan tunangnya, Reza. Keadaan bertambah buruk apabila Reza yang bekerja sebagai buruh kontrak telah diberhentikan. Ini menyebabkan Reza mahu menundakan perkahwinan mereka dan berhijrah ke Kuala Lumpur mencari pekerjaan serta mengumpulkan wang untuk berkahwin.

Manakala di kampung, emak Ezora jatuh sakit apabila mengetahui Reza menangguhkan perkahwinan. Dia yang sukar menerima kenyataan itu meninggal dunia dan ini membuatkan Ezora lebih tertekan. Ketiadaan ibunya membuatkan adik Ezora, Lisa, hidup dengan penuh bebas tanpa kawalan sesiapa. Dia terus menggoda lelaki tua berharta yang sanggup menghabiskan wang untuknya. Manakala, Ezora pula digoda oleh majikannya yang cuba mengambil kesempatan terhadapnya. Kekecohan berlaku sehingga Ezora dipecat.

Di Kuala Lumpur pula, Leeya yang berasal dari keluarga kaya, marah apabila mendapati tunangnya, Badree, berlaku curang dengan arkitek wanita yang digajinya. Dia terus memecat arkitek itu dan membatalkan pertunangannya. Pergaduhan berlaku dan Reza yang menjadi buruh di banglo Leeya itu menjadi orang tengah. Akhirnya Leeya tertarik dengan kekacakannya.

Hubungan Reza dengan Leeya semakin rapat, sehingga Reza diberi tanggungjawab sebagai Pengarah Keselamatan di Hotel Marina milik Leeya. Dalam diam-diam, Leeya sedang membuat persiapan untuk berkahwin dengan Reza. Ezora mulai gelisah kerana Reza semakin jarang mengirim berita. Akhirnya Ezora memutuskan untuk pergi bertemu Reza di Kuala Lumpur. Kedatangan Ezora ke Kuala Lumpur membuatkan Reza berada dalam dilema.