Am Faks

Sesebuah "mesin faks" biasanya terdiri daripada pengimbas imej, modem, dan pencetak.

Sungguhpun wujudnya pelbagai jenis peranti penghantaran dokumen cetakan secara elektrik sejak abad ke-19, namun mesin faks moden hanya diterima ramai pada pertengahan 1970-an apabila teknologi menjadi cukup canggih dan kos ketiga-tiga tekonologi sandaran tersebut menurun. Mesin faks digital mula-mulanya menjadi laris di Jepun, di mana mesin faks digital jelas mengatasi teknologi-teknologi lain yang bersaing seperti teleprinter, kerana ketika itu adalah lebih cepat untuk menulis tulisan kanji berbanding menaipnya (sebelum kemudahan editor kaedah input dibangunkan). Lama-kelamaan, faks menjadi murah dan laris di seluruh dunia pada tahun 1980-an.

Walaupun kebanyakan perniagaan masih menggunakan kemudahan faks, namun teknologi faks kian menghadapi saingan dari sistem-sistem yang berasaskan Internet. Namun demikian, mesin faks masih ada kelebihan, khususnya bagi penghantaran bahan-bahan sensitif yang tidak boleh dikirim melalui Internet tanpa penyulitan, berikutan mandat-mandat seperti Sarbanes-Oxley dan Akta Kemudahalihan dan Kebertanggungjawaban Insurans Kesihatan (HIPAA). Di sesetengah negara, memandangkan tandatangan elektronik pada kontrak tidak diiktiraf oleh undang-undang seperti mana bagi kontrak bertandatangan yang difakskan, maka mesin faks masih laris digunakan oleh perniagaan.

Dalam sebilangan besar syarikat, mesin faks kendiri telah diganti oleh "pelayan faks" dan bermacam-macam sistem berkomputer yang mampu menerima dan menyimpan faks secara elektronik, kemudian menujukan faks tersebut kepada pengguna pada kertas atau melalui e-mel (yang boleh dijamin keselamatannya). Sistem-sistem sedemikian berkelebihan dalam mengurangkan kos dengan menidakkan cetakan yang tidak perlu serta mengurangkan bilangan talian telefon analog yang diperlukan dalam pejabat.

Berkaitan