Sejarah Fang

Sejarah awal

Diceritakan dalam komik khas BoBoiBoy Galaxy: Ledakan Cahaya, Fang dilahirkan dan dibesarkan di sebuah planet dipanggil Planet GogoBugi di bawah jagaan ibu dan bapa dan abang lelakinya yang bernama Kaizo. Pada suatu ketika semasa dia masih kecil, planetnya telah diserang oleh pemimpin pasukan Tengkotak bernama Bora Ra yang ingin menangkap sebuah Power Sphera bernama EnerBot, maka Kaizo membawanya keluar dari planet tersebut. Tidak lama selepas mereka ditemui dan diserang oleh Bora Ra, mereka akhirnya diselamatkan oleh seorang laksamana bernama Maskmana.

Selepas Fang membesar, dia mula berlatih di bawah latihan abangnya dan kemudian menyertai pasukan abangnya sebagai seorang prebet. Fang juga telah belajar beberapa bahasa dan kehidupan yang terdapat di Planet Bumi sebelum memulakan misinya di sana.

BoBoiBoy

Ketibaan di Bumi

Pada suatu masa dahulu, Fang telah dihantar oleh Kapten Kaizo ke Bumi untuk menjalankan misi untuk merampas Jam-jam Kuasa. Apabila tiba di ruang udara, Fang diturunkan dari sebuah kapal angkasa lalu mengaktifkan topeng kuasanya dan mengesan tenaga dari Jam-jam Kuasa yang sedang dipakai oleh BoBoiBoy, Yaya, Ying dan Gopal. Fang dinasihati oleh Kapten Kaizo untuk merahsiakan identiti sebenarnya dan menggunakan kekerasan jika perlu. Setelah itu, Kapten Kaizo bersedia untuk berlepas semula ke angkasa dengan meninggalkan pesanan kepada Fang bahawa dia akan datang semula ke Bumi apabila tiba masanya, lalu terus berlepas ke angkasa meninggalkan Fang.

Fang menuju ke arah lokasi tenaga Jam-jam Kuasa yang dikesannya tadi, tetapi terhenti apabila mendengar pengumuman dari Stesen Keretapi bahawa keretapi yang menuju ke Pulau Rintis akan berlepas sebentar lagi. Fang menyahaktifkan semula topeng kuasanya lalu menuju ke Stesen Keretapi untuk menaiki Yong Pin Aerotrain dan menuju ke Pulau Rintis.

Semasa di Stesen Keretapi Pulau Rintis, Fang keluar dari keretapi Yong Pin Aerotrain dan pada masa yang sama BoBoiBoy masuk ke dalam keretapi itu untuk pulang ke bandarnya.

Mendapat kuasa

Fang telah berpindah ke Sekolah Rendah Pulau Rintis sebagai murid baru dan dimasukkan dalam kelas 5 Jujur. Sepanjang Fang tinggal di Pulau Rintis, dia berasa cemburu dan iri hati dengan BoBoiBoy. Rasa cemburu itu bukan sahaja kerana kehebatan kuasa BoBoiBoy, malah juga kerana kepopularitiannya. Pada suatu hari, Fang berdiri sendirian di Taman Pulau Rintis sambil bersungut akan kepopularitian BoBoiBoy. Adu Du dan Probe yang menyamar mendekati Fang dan menawarkan cara kepadanya untuk menjadi lebih popular daripada BoBoiBoy, iaitu mendapatkan Ochobot lalu memberikan gambarnya sebagai panduan. Adu Du turut memberikan kertas arahan kepada Fang untuk dipatuhinya bagi mendapatkan Ochobot, iaitu memesan air Special Hot Chocolate dan satu tin serbuk koko di warung Tok Aba. Fang meminta Ochobot untuk menuntut harta pusaka yang dikatakan ditinggalkan oleh seorang kenalan BoBoiBoy yang berasal dari kerabat diraja dengan segera. Kemudian, Fang menawarkan pertolongannya untuk menemani Ochobot untuk pergi ke Markas Kotak.

Mereka berdua tiba dan pada masa yang sama, Adu Du dan Probe muncul dan memerangkap Ochobot dalam jaring dan Fang tidak menduga bahawa mereka berdua berniat jahat. Ochobot dibawa masuk ke dalam Markas Kotak dan diikat oleh Adu Du dan Probe sambil diawasi oleh Fang. Adu Du menyuruh Fang menyerahkan serbuk koko kepadanya dan Fang patuh walaupun berat hati. Adu Du mencurahkan serbuk koko ke dalam Ochobot dan menyebabkannya naik gelabah, melepaskan diri dari ikatan dan melarikan diri dari markas sambil diekori oleh Fang. Ochobot cemas mencari tempat untuk menyorok, dan akhirnya berlindung di dalam tong sampah. Fang menemuinya dan menangkap Ochobot untuk melindunginya.

Fang membawa Ochobot pergi jauh daripada Adu Du dan Probe, tetapi tiba-tiba dikepung oleh mereka. Ochobot dalam pegangan Fang masih gelabah kerana terlebih kuasa koko dan akhirnya melepaskan kuasa lebihan itu ke angkasa. Disebabkan oleh Fang memegangnya, dia menerima Kuasa Bayang daripada Ochobot. Adu Du dan Probe terkejut dan menembak Fang bertubi-tubi, tetapi dibalas oleh Fang dengan kuasanya. Naga Bayang gergasi terbentuk di hadapan bulan purnama dan memusnahkan harta benda di seluruh Taman Pulau Rintis. Ochobot menyuruh Fang untuk mengawalnya, tetapi Fang tidak berdaya. Oleh itu, Ochobot terpaksa merenjatkan Fang dan akhirnya Naga Bayang terpadam semasa nyaris memusnahkan pangsapuri. Semenjak daripada peristiwa itu, Fang berlatih untuk menggunakan Kuasa Bayangnya di sebuah Rumah Berhantu, dengan mengganggu penduduk setempat yang melalui di kawasan rumah itu.

Identiti didedahkan

Fang membantu mengedarkan risalah-risalah kepada pengunjung-pengunjung semasa Hari Karnival Bumi sedang berlangsung di Sekolah Rendah Pulau Rintis. Kemudian, Fang mengikut Gopal, Yaya dan Ying ke kelas untuk melihat BoBoiBoy yang bersedih di dalam kelas tetapi dia tiba-tiba berlari keluar daripada kelas dengan tergesa-gesa selepas menerima mesej segera pada Jam Kuasanya. Pada waktu malam, Fang berada di dalam Rumah Berhantu, sedang menghubungi seseorang dan berkata bahawa dia telah menerima mesej dan bersiap sedia.

Keesokan harinya, Kapten Kaizo datang semula ke Planet Bumi untuk memeriksa perkembangan misi Fang, lalu Fang bertemu semula dengan kaptennya. Kapten Kaizo turut bertemu dengan "kawan-kawan" Fang, iaitu BoBoiBoy, Yaya, Ying dan Gopal. Kapten Kaizo kemudiannya mendedahkan identiti sebenar Fang kepada mereka, dan memberikan arahan kepada Fang untuk mengalahkan BoBoiBoy. Fang yang berat hati untuk melakukannya, terpaksa mengikut arahan dengan menggunakan kuasa asalnya, iaitu Kuasa Penembus. Mereka berlawan sehingga Fang berjaya mendapatkan Jam-jam Kuasa dan memberikannya kepada Kapten Kaizo. Akhirnya, Fang mengikut kaptennya ke kapal angkasa lalu berlepas ke angkasa.

Ketika di dalam sebuah bilik di dalam kapal angkasa, Fang mengucapkan tahniah kepada kaptennya di atas empat kuasa baru dan misi pasukan mereka telahpun selesai di situ. Namun, Kapten Kaizo juga meminta Fang untuk menyerahkan Jam Kuasanya bersama dengan berkata bahawa Fang tidak layak menggunakan dua kuasa sekaligus, dan Fang menyerahkannya walaupun berat hati. Jam Kuasanya diletakkan bersama empat Jam Kuasa lain di tempat yang berkunci.

Pertarungan terakhir

BoBoiBoy dan kawan-kawannya telah meminta tolong daripada Adu Du dan Probe untuk membebaskan Fang dan mengambil semula kuasa-kuasa mereka. Apabila Fang merasakan bahawa Kapten Kaizo tidak menyedari tindakannya, dia mengambil kesempatan untuk menggunakan Kuasa Penembus dan perlahan-lahan melangkah keluar dari kokpit kapal angkasa lalu menuju ke bilik. Dia mengambil kesemua Jam Kuasa dan beredar ke ruang saluran udara dengan harapan ingin mengembalikannya semula kepada pemilik asalnya. Walau bagaimanapun, niat dan tindakan Fang disedari oleh Kapten Kaizo yang menganggapnya sebagai pembelot dalam pasukan. Jadi, Kapten Kaizo mencabar BoBoiBoy dan kawan-kawannya, termasuk Fang, untuk bertarung sekali lagi di Medan Latihan Tempur.

Mereka menerima cabaran untuk bertarung dan Fang berganding bahu bersama BoBoiBoy untuk bertarung dengan abang kandungnya sendiri. Walaupun pertarungan tersebut agak sukar, tetapi mereka akhirnya berjaya 'mengalahkan' Kapten Kaizo. Setelah itu, Kapten Kaizo mendedahkan bahawa misinya untuk mencari pemilik-pemilik Jam-jam Kuasa yang layak, dan mengakui bahawa Fang serta kawan-kawannya adalah pemilik yang layak. Sebelum pergi, Kapten Kaizo memberikan dua pilihan kepada Fang sama ada ingin mengikutnya pulang atau tinggal di Bumi bersama kawan-kawannya, lalu Fang memilih untuk tinggal di Bumi bersama kawan-kawannya.

BoBoiBoy: The Movie

Ochobot telah diculik oleh pasukan Tengkotak dengan tujuan menggunakannya untuk mencari Klamkabot, sebuah Sfera Kuasa purba dan berkuasa yang menyembunyikan diri di Bumi. Fang bersama kawan-kawannya telah berlumba dengan masa untuk menyelamatkan Ochobot dan pada masa yang sama mendedahkan rahsia di sebalik misteri Sfera Kuasa.

BoBoiBoy Galaxy

Setelah peristiwa yang telah berlaku dalam filem, Fang keluar dari geng kawan-kawannya dan kembali ke angkasa lepas untuk menyambung latihan di bawah abang kandungnya, Kapten Kaizo. Kemudian bersama-sama dengan abangnya, dia menyertai kumpulan TAPOPS sebelum datang ke Bumi semula.

Fang sedang berada dalam latihan solo memandu kapal angkasa sebelum tiba sebagai bantuan kepada kawan-kawannya setelah diserang oleh Nyamuk Amok. Kemudian dalam kumpulan TAPOPS, Fang telah menjadi komander dalam pasukannya sendiri, yang dianggotai oleh Sai dan Shielda.