Watak-watak Fara_(siri_TV)

Watak utama

  • Fara (Fara Fauzana) asalnya bekerja sebagai operator syarikat teksi sehingga dipujuk untuk menyertai bidang penghebahan oleh penyelia syarikat lamanya yang melihatnya sebagai berbakat sebagai juruhebah ala radio. Namun setibanya di Panas FM, kehidupannya makin bergolak setelah menghadapi dugaan dalam hidup setelah dinaikkan nama sebagai personaliti terkenal di gelombang radio.
  • Sanju (Pushpa Narayan) ialah Pengurus Panas FM yang amat tegas terhadap orang bawahannya, namun sedia membantu Fara dan rakan sekerjanya sekiranya mereka menghadapi masalah termasuk yang peribadi.
  • Nordin a.k.a. Din JJ (Mohd Kardanie "Danny" Anwa) ialah rakan sejawatan Fara yang kuat egonya. Pada musim pertama, Din menjadi dengki terhadap Fara lalu sanggup melakukan apa sahaja untuk menyingkirkannya dari Panas FM demi kepentingan sendiri. Pada musim kedua kedengkiannya sudah reda. Sering kali dia dilihat bertutur dalam loghat Kelantan. JJ ialah singkatan bagi "Jejaka Jambul".
  • Jimmy (Jason Chong) ialah penerbit rancangan Panas FM yang berperangai keperempuanan. Dia sentiasa bimbang akan sambutan pendengar dan pengiklan terhadap stesen tersebut dan mudah menjadi cemas jika dengar ada juruhebah yang hendak meninggalkan Panas FM.
  • Hisham (Fahrin Ahmad) muncul di awal musim ketiga, sebagai seorang wakil syarikat yang menaja rancangan Fara di Panas FM. Walaupun sudah bertemankan Diana, namun dirinya seolah-olah makin erat dengan Fara dan agak sukar untuk Fara menerima kenyataan ini walaupun beginilah yang disangka rakan-rakannya semenjak Hisham muncul.
  • Diana (Jue Aziz):Anak emas dalam keluarga pemilik syarikat penaja Panas FM, dan teman wanita Hisham. Dia muncul di musim ketiga untuk cuba membawa perubahan drastik kepada Panas FM tanpa kerelaan krew. Dia pernah membikin sebuah filem berjudul Dendam Berahi yang kurang berjaya di pawagam walaupun banyak berbelanja untuk penerbitan (dari episod Gali Lubang Tutup Lubang).

Watak sampingan dan watak kecil

  • Sean (Dalip Dale Suvitt) ialah seorang kenalan Wanda. Dalam episod Jejaka Idaman, Sean pernah menjalin hubungan dengan Fara buat seketika dan disangka oleh Din sebagai teman lelaki Wanda yang dicuri Fara.
  • Jaya (Siva Kumar) ialah suami kepada Sanju. Dalam episod Cita-cita dan Cinta, dia dengan bantuan krew Panas FM cuba memujuk Sanju menyambut hari jadi.
  • Nabil (Nabil Zamanhuri) muncul dalam episod Salah Pancing sebagai konsultan imej Panas FM yang diidamkan Wanda untuk bercinta, tetapi sebaliknya kelihatan lebih rapat dengan Fara dan malu berdekatan dengan Wanda.
  • Samad (Zami Ismail) ialah pengawal keselamatan bangunan yang menempatkan konti Panas FM. Dalam episod Tak Padan, dia menunjukkan rasa jelik terhadap sifat keperempuanan Jimmy, tetapi anaknya sendiri juga berperilaku keperempuanan.
  • Leong (Jeffrey Lim) ialah rakan sejawatan Samad yang juga muncul dalam episod Tak Padan.
  • Dr. Salim (Aziz M. Osman) ialah seorang pakar kecantikan palsu yang, dalam episod Duta Produk, memperguna nama Fara untuk melariskan keluaran terbarunya.
  • Maya (Fara Ali) ialah teman wanita Din JJ dalam satu perhubungan yang renggang. Dalam episod Cincang Air, Maya memutuskan hubungan setelah ditegah abangnya.
  • Rosman (Syed Aiman) ialah abang kepada Maya. Dalam episod Cincang Air, Din cuba menjalin hubungan dengan Rosman agar mendapatkan kembali Maya, tetapi hubungan baik itu tidak tahan lama jua.
  • Ayu (Farah Putri) ialah pelatih yang bekerja di premis Panas FM sementara di episod Budak Praktikal.
  • Michael (Aaron Aziz) ialah bekas teman lelaki Sanju yang pernah saling bercinta ketika masih bersekolah. Di episod Janji, dia kembali dari pengajiannya di England lalu cuba berhubung dengan bekas teman wanitanya.
  • Nia (Eira Syazira) ialah seorang pekerja di pejabat bersebelahan pejabat Panas FM yang menarik hati Jimmy di episod Cinta Jimmy.
  • Suhaimi (Fahrin Ahmad) ialah Pegawai Eksekutif Panas FM dan orang atasan kepada kelima-lima watak utama. Muncul buat julung kali di episod Siapa Ketua, Suhaimi menunjukkan personaliti yang peramah dan senang-lenang, tetapi berdendam terhadap Sanju dan mengambil kesempatan dengan memecatnya atas kesilapan kecil.

Bekas watak utama

  • Wanda (Yanie) ialah wartawan hiburan dan "tukang gosip" Panas FM yang sering cuba menceriakan suasana di pejabat stesen radio tersebut. Dia bersifat naif dan mudah terpedaya. Watak ini muncul selama dua musim pertama.

Penampilan istimewa

  • Hai Fara Di Sini!:Faizal Tahir ditampilkan secara khusus bagi episod ini untuk memainkan peranan seorang awam yang terlibat dalam kaji selidik.
  • Cincang Air (bhg 2): Barisan pelakon utama siri Puteri meminjamkan suara mereka sebagai pemanggil radio dalam episod ini.
  • De Javu: Panas FM mengadakan temubual bersama Ella dari wad hospital di mana Fara terlantar akibat kemalangan.