Biografi Felix_Agus

Kehidupan awal dan permulaan karier

Felix Agus dilahirkan pada 3 April 1982 dan berasal dari Kampung Purak Ogis, Kota Belud, Sabah. Zaman kanak-kanak beliau seperti juga apa yang dilalui oleh kanak-kanak lain di kampung. Beliau gemar memancing ikan, bermain bolasepak dan yang paling seronok aktiviti mandi sungai.

Beliai memang meminati muzik dan gemar menyanyi sejak dari bangku sekolah lagi. Sebelum menyertai AF3, pada tahun 2005, beliau telah menyertai pertandingan Sugandoi peringkat Lahad Datu dan berjaya merangkul juara. Lagu yang di bawakan pada masa itu sebuah lagu dari penyanyi tempatan Sabah Francis Landong, yang memang menjadi idola beliau. Pada tahun 2004 pula beliau bersama-sama dengan dua orang sepupunya, Joseph Timbangan dan Stanley Joe telah merakamkan album Bontugon 2004. Album Dusun tersebut memuatkan 4 buah lagu termasuklah lagu bertajuk Nokosuai Ginawo Ku. Pada tahun 2005, beliau telah menghadiri ujibakat Akademi Fantasia Musim 3 dan keputusannya beliau terpilih menjadi diantara 14 pelajar yang memasuki banglo AF3 ketika itu. Setelah hampir sepuluh minggu beradu suara dalam pertandingan tersebut, pada 6 Ogos 2005 beliau berjaya mara ke konsert akhir AF3 bersama dengan Mawi, Amylea dan Marsha, sekaligus beliau dinobatkan sebagai Naib Juara dalam pertandingan tersebut.

Karier selepas AF3 (2005-2008)

Selepas berakhirnya program AF3, Felix mengikat kontrak selama tiga tahun bersama Maestro Records. Beliau sempat merakamkan album sulungnya bersama Maestro Records yang berjudul Aku Pencintamu pada tahun 2006. Meskipun menanti hampir setahun untuk album tersebut disiapkan dan diterbitkan namun Felix mengatakan bahawa dia tidak ingin terburu-buru dalam menerbitkan sesebuah karya. Beliau juga telah dimaklumkan bahawa kelewatan album tersebut diterbitkan kerana Maestro mempunyai artis yang ramai di bawah naungan mereka. Namun kerja-kerja promosi album tersebut kurang dilakukan oleh pihak Maestro membuatkan para peminat beliau yang berada di Semenanjung tidak mengetahui akan kewujudan album tersebut. Ini menyebabkan promosi album tersebut dilakukan di Sabah dan album itu hanya laris di pasaran negeri kelahirannya sahaja. Selepas kontraknya bersama Maestro Records berakhir pada tahun 2008, Felix kembali ke Sabah dan menyertai teman-temannya disana untuk menubuhkan syarikat rakaman mereka sendiri dan kini beliau bergerak secara bebas dalam menguruskan karier seninya.

Perkembangan karier (2009-kini)

Selepas kontrak bersama Maestro Records berakhir pada 2008, Felix masih ditawarkan beberapa tawaran kerja untuk beliau menyanyi dan berlakon daripada Astro namun kerana jarak dan komitmen kerjanya di Sabah membuatkan beliau terpaksa menolak tawaran tersebut. Apatah lagi kini beliau sibuk menguruskan kariernya di Sabah setelah membuka syarikat rakamannya sendiri iaitu, D'Sulap Entertainment. Pada 30 Mei 2009, beliau juga menerbitkan album keduanya berjudul Aku Juga Iya dibawah terbitan syarikat tersebut. Album tersebut dilancarkan di Courtyard Hotel Elusion Lounge di 1Borneo Kota Kinabalu Sabah. Album tersebut dieasmikan oleh YB Datuk Masidi Manjun, iaitu Menteri Pelancongan Kebudayaan & Alam Sekitar ketika itu. Antara lagu yang popular daripada album tersebut adalah Aku Juga Iya, Akulah Laki Laki, Harapan Kosong dan banyak lagi. Namun album keduanya kali ini hanya untuk bertujuan diterbitkan dan dipasarkan di pasaran Sabah sahaja. Pada tahun 2010, beliau mula berjinak-jinak dalam bidang pengacaraan dan menjadi penyampai radio tempatan di Sabah, iaitu Kupi-Kupi FM. Sehingga kini beliau lebih selesa berkarya di negeri kelahirannya sendiri kerana jadual kerjanya yang sentiasa padat dan ingin menumpukan perhatian sepenuh kepada keluarganya di Sabah. Dalam perkembangan lain, pada tahun 2019 beliau telah menerbitkan sebuah single terbaru berjudul Terbang.

Perkahwinan (2011)

Pada 19 September 2011, beliau telah menamatkan zaman bujangnya dengan mengahwini gadis pilihan hatinya, iaitu Lydia Larius Gojih di Penampang, Sabah. Mereka kini dikurniakan sepasang cahaya mata comel yang bernama Prine Eli Felix (6 tahun) dan Dea Thelisha Felix (4 tahun).