Sejarah Flop_Poppy

Kumpulan ini telah ditubuhkan pada tahun 1989 oleh empat anggota asal iaitu Radhi (vokal), Andy (gitar utama), Syed Wayar (gitar kedua) dan Vijay (bass). Pada ketika itu, Flop Poppy yang tiada pemain dram tetap berada di arena muzik underground dan hanya membuat persembahan di gig-gig kecil dan majlis-majlis di sekitar Kuala Lumpur.

Mereka kemudiannya muncul dalam album The Circle Of Friends pada tahun 1991 bersama kumpulan-kumpulan lain yang sealiran dengan mereka seperti Subculture, Art, Society dan lain-lain. Namun selepas keluarnya album tersebut, Radhi, Syed Wayar dan Vijay telah membawa haluan masing-masing, meninggalkan Andy sebagai satu-satunya anggota Flop Poppy. Untuk meneruskan kariernya dalam bidang muzik, Andy telah menyertai beberapa kumpulan muzik lain dan kebanyakannya sebagai pemain bass pada waktu itu.

Pada tahun 2000, Andy akhirnya terjun ke dalam arena muzik mainstream apabila dilamar oleh syarikat rakaman New Southern Records (NSR) untuk menjadi artis rakaman, sekaligus memberinya peluang untuk menghidupkan semula Flop Poppy. Untuk merealisasikan hasratnya itu, Andy yang bertindak sebagai penyanyi & pemain gitar telah membawa masuk Bakri sebagai pemain dram tetap. Penyertaan Bakri dalam kumpulan tersebut kemudiannya membawa kepada penyertaan tiga pemuzik lain iaitu Mijie (gitar utama), Wandy (bass) dan Megat (gitar kedua). Dengan line-up ini, mereka kemudiannya menghasilkan album studio pertama mereka dalam iaitu A Decade Ago pada tahun 2001. Setahun selepas itu, mereka menghasilkan album studio kedua dengan menggunakan nama kumpulan mereka sebagai judul album. Album ini benar-benar menaikkan nama mereka dalam industri muzik tanah air dengan 2 lagu hit mereka yang berjudul Cinta dan Rest Of My Life mendapat sambutan yang hangat daripada kalangan peminat.

Pada tahun 2004, kumpulan ini mengalami perubahan anggota apabila Bakri keluar dan digantikan oleh seorang pemain dram yang berasal dari Kuantan, Pahang bernama Azman Ismail atau lebih dikenali sebagai Man Kanan. Bersama Man Kanan, Flop Poppy telah menghasilkan album ketiga yang berjudul Say La V yang juga merupakan album terakhir mereka di bawah label NSR. Sepanjang bergiat aktif dalam industri muzik tanah air, kumpulan ini telah beberapa kali bertukar anggota dan ini menyebabkan Flop Poppy tinggal dua anggota asal iaitu Andy dan Megat.

Pada tahun 2018, pemain dramnya iaitu Man Kanan telah merancang untuk membuat reunion bersama anggota asal Flop Poppy iaitu Andy, Mijie, Megat dan Wandy. Namun pada tahun tersebut, Man Kanan telah kembali ke rahmatullah akibat serangan jantung ketika menunggu waktu berbuka puasa. Walaupun Man Kanan telah tiada, Flop Poppy mengambil keputusan untuk meneruskan usaha Allahyarham dengan menampilkan semula Bakri sebagai pemain dram asal kumpulan ini. Mereka membuat persembahan Rona Bunyi: Flop Poppy - Rest Of My Life di Panggung Asia, Setor Gombak, Jalan Gombak, Kuala Lumpur pada Ogos 2018.