Biografi Freddie_Fernandez

Selepas menghabiskan peperiksaan tingkatan enam di Institusi St John, anak kelahiran Johor ini menyertai kumpulan the Revolvers sebagai pemain papan nada, sambil menyertai kursus Ijazah Sarjana Muda Ekonomi di Universiti Malaya[1].

Setelah menamatkan pengajian, beliau menyertai Lembaga Industri Pembalakan Malaysia selaku Pegawai Pemasaran selama lima tahun.[1] Minatnya terhadap muzik mendorong beliau untuk menubuhkan syarikat Betarecs pada 1980-an, dan menjadi komposer, penyusun dan penerbit muzik dalam syarikat sendiri. Bagaimanapun, keadaan cetak rompak yang serius memaksa beliau untuk menumpu perhatian kepada penghasilan dendang iklan.[2]

Pada tahun 1989, beliau mengasaskan Badan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik (Bahasa Inggeris: Music Authors' Copyright Protection, MACP) untuk melindungi para penggubah muzik serta mengutip royalti bagi pihak mereka. Pada tahun 1993, beliau melancarkan Anugerah Industri Muzik (AIM) sebagai penghargaan tahunan kepada para penggiat seni muzik Malaysia.[2] Upacara AIM pertama diadakan pada tahun 1994.

Pada tahun 2000, Fernandez menambah sebuah lagi badan kesenian, iaitu Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) yang mewakili bukan sahaja pemuzik, malah juga artis-artis dari pelbagai bidang kesenian termasuk penyanyi, pelakon, penari, pelawak, penggubah lagu dan penulis lakon layar. Dalam satu temuramah yang diadakan pada tahun 2006, beliau berkata tujuan penubuhan Karyawan adalah "kerana saya mendapati terlalu banyak persatuan yang berpecah-belah, oleh itu bagi saya, apa kata saya membentuk sebuah (persatuan) di mana semua (penggiat seni) boleh menjadi ahli dan menyatukan semua ahli di bawah satu bumbung."[1]

Pada tahun 2003, Fernandez mengasaskan badan pengurusan bakat Astro, iaitu Maestro Talent, berikutan kejayaan Akademi Fantasia yang dianjurkan syarikat televisyen berbayar tersebut.[2] Antara artis-artis di bawah naungan Maestro termasuk juara-juara Akademi Fantasia (Zahid, Mawi, Faizal, Mila), peserta-peserta lain rancangan realiti berkenaan serta lepasan-lepasan pertandingan nyanyian Astro yang lain.

Keluarga

Fernandez lahir pada 6 Januari 1953 di Segamat, Johor. Isteri beliau bernama Jeanette dan mereka merupakan ibu bapa kepada empat orang anak (Ryan, Brandon, Ethan, dan Ashley). [3]