Sejarah Gangga_Negara

Menurut kajian yang dijalankan oleh Tuan Haji Abdul Hamid Zamburi, berdasarkan buku Geographike Huphegesis yang ditulis oleh Ptolemy sekitar 150M ada menyebut tentang sebuah tempat bernama Coconagara yang terletak di Avrea Cheronesvs (Semenanjung Emas; merujuk kepada Tanah Melayu). Secara fonetiknya, sebutan Coconagara seakan-akan menyamai sebutan Gangga Negara. G. Coedes dalam The Indianized States of Southeast Asia berpendapat bahawa Coconagara itu terletak di tebing Sungai Dinding, sementara Kolonel Low pula mencadangkan ianya terletak di Sungai Dinding dan Beruas. Jika perkara ini tepat, maka ketamadunan Melayu di Beruas telah wujud sekurang-kurang sejak abad kedua tahun Masihi, iaitu merujuk kepada tahun penulisan Ptolemy. [1] Menurut catatan Hikayat Merong Mahawangsa, Gangga Negara telah diasaskan oleh anakanda Merong Mahawangsa yang bernama Raja Ganjil Sarjuna. Kerajaan ini terletak di kawasan Beruas, sekitar selatan Gunung Bubu, ke arah timur Bukit Segari dan di tepi Sungai Dendang. Kerajaan ini turut merangkumi kawasan Pengkalan (Ipoh), Lembah Kinta, Bidor, Tanjung Rambutan dan Sungai Siput ,selain berubah-ubah dipercayai ekoran perubahan aliran sungai.Gangga Negara merupakan sebuah kerajaan Melayu-Hindu. Gangga Negara dipercayai sempena nama Sungai Ganges di India, manakala Negara bererti negeri dalam bahasa Sanskrit. Empayar Gangga Negara musnah ekoran serangan dan penjarahan Raja Rajendra Chola Deva I dari Coromandel, India sekitar 1025-1026. Dipercayai bahawa Raja Gangga Negara, iaitu Raja Gangga Shah Johan terkorban dalam peperangan tersebut.