Plot Gantz

Kisah Gantz bermula dengan kematian dua orang pelajar sekolah menengah (Kei Kurono dan Masaru Kato) apabila mereka dilanggar sebuah kereta api selepas menolong seorang pengemis yang terjatuh di atas trek kereta api itu. Apabila mereka menyedari akan kejadian tersebut, mereka telahpun terselamat dan "dihantar" ke sebuah kondominium di Tokyo, di mana mereka dikurung dan jalan keluar tidak kelihatan bersama beberapa orang yang baru meninggal dunia berkumpul di situ. Di suatu sudut di bilik tersebut terdapat sebuah bola hitam berbentuk sfera dikenali sebagai "Gantz" oleh mereka di bilik itu pada suatu masa nanti. Selang beberapa minit kemudian, sebuah lagu akan dimainkan oleh bola hitam tersebut. Bola hitam itu akan terbuka di sebelah kiri dan kanannya; di dalam terdapat beberapa jenis senjata-senjata dan baju khas moden yang disimpan di dalam sebuah kotak untuk setiap orang yang berkumpul di dalam bilik misteri itu. Teks dan informasi pula akan dipaparkan di atas bola hitam Gantz, menunjukkan sasaran dan info-info yang berkait rapat tentang objektif misi malam itu; akhir sekali setiap daripada mereka yang berada di dalam bilik itu akan dihantar "keluar" untuk memulakan permainan Gantz dan menghabiskan misi mereka.

Banyak yang masih belum diketahui tentang bilik itu. Dinding dan kawasan disekitarnya tidak boleh disentuh, dengan ini mereka yang dikurung di situ tidak boleh berinteraksi dengan dunia luar ataupun melarikan diri. Pintu hadapannya hanya akan dibuka dengan syarat misi yang diberikan pada suatu malam itu dihabiskan para pemain. Menurut manga Gantz, terdapat bilik-bilik yang menyerupai bilik ini di Jerman, Amerika Syarikat dan Israel.

Selain daripada bola dan senjata yang terdapat di dalam bilik tersebut, jika dilihat kedalam bola itu, terdapat seorang tua yang kelihatan bergantung kepada sebuah mesin perubatan. Identiti mahupun nama lelaki ini tidak dapat dikenalpasti, dan sepanjang permainan itu berlangsung, lelaki tersebut tidak sedikitpun memberi respons ataupun kelihatan bertanggungjawab ke atas segala yang berlaku.