Topografi Geografi_Iran

Topografi Iran

Topografi Iran atau Parsi terdiri daripada lingkaran gunung ganang yang berceranggah dan memagari beberapa lembangan. Banjaran utama ialah pergunungan Zagros yang mempunyai beberapa permatangan yang selari, mempunyai beberapa dataran di merata dan ia membahagi duakan Iran kepada timur laut dan tenggara. Kebanyakan puncak di Zagros melebihi 3000 meter atas aras laut dan di selatan dan tengah Iran, purata ketinggian puncak gunung jatuh dengan mendadak hingga ke 1,500 meter. Melingkari Laut Kaspia pula terdapat satu lagi banjaran yang sempit tetapi tinggi iaitu banjaran Alborz. Gunung Berapi Damavand (5,610 m) terletak di tengah-tengah Alborz dan merupakan puncak tertinggi di Iran.

Di tengah-tengah Iran terdapat beberapa lembangan yang dikenali sebagai Penara Tengah. Purata ketinggiannya ialah 900 meter. Dua padang pasir masin terletak di sebelah timur penara ini, iaitu Dashte Kavir dan Dashte Lut. Pusat penempatan di kawasan sini hanya tertumpu di wahah.

Hanya terdapat dua tanah rendah di Iran iaitu Dataran Khuzestan di tenggara dan dataran pantai Laut Kaspian di utara. Dataran Khuzestan merupakan sebahagian daripada kawasan tiga segi dataran Mesopotamia dan mempunyai purata lebar 160 km. Kebayakan tanah di Khuzestan diliputi dengan paya. Dataran pantai Kaspia lebih panjang tetapi lebih sempit. Ia berukuran 640 km di sepanjang Laut Kaspia dan kawasan paing lebar berukuran 50 km. Kawasan pantai di Teluk Parsi dan Teluk Oman tidak mempunyai dataran yang luas dan di beberapa tempat, banjaran Zagros mencecah kawasan pantai.

Tiada sungai besar di negara ini. Daripada sungai-sungai kecil di Iran, hanya Sungai Karun yang dapat dilayari dan mempunyai panjang 830 km. Bot-bot kecil dapat digunakan dari Khorramshahr ke Ahvaz, berjarak sepanjang 180 km. Sungai utama lain ialah Sungai Kharkeh, sepanjang 700 km, Sungai Zayandeh Rud, sepanjang 400 km. Sungai-sungai dari pergunungan Zagros dan Alborz mengalir hingga ke Teluk Parsi dan Laut Kaspia. Terdapat sebuah tasik masin iaitu Tasik Urmia di barat laut Iran yang mempunyai kandungan garam yang cukup untuk menampung hidupan akuatik.