Politik Gerhard_Schröder

Sejak muda lagi, Schröder sudah aktif berpolitik di bawah SPD dari tahun 1963. Perlahan-lahan kerjaya politiknya naik. Bermula sebagai anggota biasa SPD cawangan Hannover (1977), beliau turut berjaya memasuki Bundestag (1980 - 1986), bahkan beliau pernah menjadi ketua pembangkang di negeri Niedersachsen (1986-1990).

Tanggal 21 Jun 1990 merupakan permulaan kemuncak kariernya. Schröder meraih kerusi Ministerpräsident (jawatan ketua kerajaan di dalam sesebuah negeri di Jerman) Niedersachsen. Kemenangan SPD dalam pilihan raya negeri pada 1 Mac 1998 sebagai langkah awal menawan kubu kuat CDU yang konservatif. Namun, Schröder bukanlah seorang ideologis. Beliau kurang senang pada aneka macam teori tetapi adalah pakar dalam berkomunikasi dengan masyarakat. Dalam menghadapi pelbagai masalah, beliau lebih condong bersikap pragmatis, sekaligus populis. Beliau juga boleh menampilkan dirinya sebagai orang yang sangat pro-korporat di samping mengekalkan persepsi umum terhadapnya sebagai seorang sosialis.

Karier politiknya terus memuncak apabila parti yang dipimpinnya menewaskan musuh tradisi mereka CDU yang dipimpin oleh Canselor Helmut Kohl dalam Pilihanraya Umum 1998 sekaligus beliau dilantik sebagai canselor yang baru. Kerajaannya itu telah dibentuk dengan bantuan sekutu tradisi SPD iaitu Pakatan '90/Hijau. Dalam tempoh kepimpinannya, beliau berusaha menerapkan fahaman jalan tengah dalam polisi kerajaan serta parti. Fahaman itu turut dipopularkan oleh Presiden Bill Clinton dan juga Perdana Menteri Tony Blair. Namun usahanya mendapat tentangan sayap kiri partinya sehingga menyebabkan perpecahan. Sebahagian besar ahli SPD diketuai oleh bekas Menteri Kewangan Oskar Lafontaine yang berfahaman sosialis bertindak keluar dari parti dan membentuk parti baru yang dipanggil Gabungan pengundi untuk Keadilan dan Kesaksamaan Sosial (WASG).

Walaupun menghadapi tentangan di dalam partinya, beliau berjaya mendapat sokongan pengundi dalam pilihanraya umum 2002. Hal ini berlaku kerana beliau telah bertindak untuk tidak menyokong penaklukan ke atas Iraq yang dianjurkan oleh Amerika Syarikat dan sekutunya. Perang itu, yang amat tidak popular di seluruh Jerman, berjaya digunakannya meraih undi untuk terus berkuasa. Namun, beberapa siri skandal yang melibatkan menteri-menteri kabinetnya selain usahanya untuk mengekang dan mengecilkan sistem kebajikan sosial di negara itu, menyaksikan partinya tewas kepada CDU di dalam beberapa pilihanraya negeri selepas itu. Pada tahun 2004 beliau bertindak meletak jawatan sebagai Pengerusi partinya kerana mahu menumpukan dirinya terhadap usaha-usaha pembaharuan yang dibawakan oleh kerajaan pimpinannya. Beliau digantikan oleh Franz Muntefering yang juga merupakan sahabat dan penyokong kuatnya di dalam parti.