Gocah_Pahlawan

Tuanku Sri Paduka Gocah Pahlawan, yang begelar Laksamana Khoja Bintan,[1] ialah seorang pendiri Kesultanan Deli (atau kini Medan) dan Kesultanan Serdang di Sumatera Utara.[2][3][4] Menurut kisah hikayat (tarombo) dari Deli dan Serdang, Gocah Pahlawan adalah keturunan bangsa Keling (India),[3] yang dikirim oleh Sultan Iskandar Muda pada tahun 1612[2] untuk memerintah bekas Kerajaan Aru. Dia dilantik sebagai penglima perwakilan (wali negara) Kesultanan Aceh Darussalam di daerah itu, untuk melawan pengaruh Portugis dan membentuk perikatan dengan penduduk setempat, yang sebahagian besar suku Karo.[1][3]Sumber Deli menyebutkan bahawa Gocah Pahlawan berasal dari India dan namanya semula ialah Muhammad Delikhan, manakala sumber Serdang menyebut namanya semula ialah Yazid dan dia masih keturunan raja-raja Bukit Siguntang Mahameru, yang meninggalkan Pagaruyung dengan menompang kapal dagang India.[3] Kedua-dua sumber bersetuju bahawa sebelum Gocah Pahlawan pergi ke Deli, dia terdampar di Pasai, Aceh.[3] Dia kemudian membuat jasa kepada Kesultanan Aceh dalam peperangan di Bengkulu, Johor, dan Pahang.[3][5] Dia juga disebutkan telah berjaya menawan dua anak perempuan Raja Pahang, iaitu Putri Kamariah dan Puteri Khairul Bariah.[5]Gocah Pahlawan telah berkahwin dengan adik perempuan datuk Sunggal, Datuk Itam Surbakti, yang merupakan salah seorang raja urung (Karo: ketua kaum) yang paling kuat di kawasan tersebut (Deli Tua),[2][4] dan bersekutu dengan tiga ketua kaum Karo lainnya.[1] Nama adik perempuan datuk Sunggal ialah Puteri Nang Bulan (Baluan) beru Surbakti,[2][4] dan perkahwinan mereka dilakukan pada sekitar tahun 1632.[3] Para ketua kaum Karo yang telah masuk Islam dan menerima pengaruh budaya Melayu, kemudian menganggap Gocah Pahlawan sebagai pemimpin tertinggi (primus inter pares) untuk rantau itu.[1] Kerajaan mula-mula yang dipimpin oleh Gocah Pahlawan itu disebut dengan nama Kerajaan Bintan.[1] Kawasan yang dikuasai ialah dari sempadan Tamiang hingga ke sungai Rokan Pasir Ayam Denak.[3] Dengan bantuan para ketua kaum Karo, dia kemudian berhasil memperluaskan kekuasaannya ke Percut dan kawasan lainnya di Deli.[3]Gocah Pahlawan diperkirakan meninggal pada tahun 1641, makamnya berada di Batu Jerguk, Deli Tua.[4] Takhta kemudian diteruskan oleh anaknya, iaitu Tuanku Panglima Perunggit.[3]