Sejarah Grand_Prix_Motosikal

Ruang papan pemuka pada sebuah motosikal MotoGP.

Seperti juga Formula Satu, motosikal yang digunakan di dalam MotoGP menggunakan bahan-bahan yang ringan dan mahal seperti titanium dan plastik gentian karbon. Biasanya, teknologi yang digunakan di dalam MotoGP juga tidak terdapat pada motosikal jalanan biasa termasuklah teknologi elektronik seperti telemetri, sistem pengurusan enjin dan kawalan pacuan. Brek yang digunakan juga adalah dari jenis brek cakera karbon yang mempunyai kuasa membrek yang tinggi.

Teknologi yang digunakan pada motosikal MotoGP menjadikan kos pembangunan bagi sesebuah motosikal yang mengambil bahagian adalah tinggi, walaupun tidak semahal kereta Formula Satu. Walau bagaimanapun, kos pembangunan bagi motosikal bagi kategori 125 cc dan 250 cc pula lebih rendah, misalnya harga bagi sebuah motosikal asas perlumbaan 125 cc adalah sama seperti harga sebuah kereta kecil.

Selain daripada kos, cabaran utama kepada pasukan yang bertanding adalah untuk memindahkan kuasa kuda sekuat lebih 240 bhp pada sebuah motosikal MotoGP 800 cc kepada bahagian tayar sebesar tapak tangan sahaja yang bersentuhan dengan trek. Kereta Formula Satu 2.4 L dengan kuasa kuda setinggi 750 bhp pula masih mempunyai kawasan sentuhan tayar 10 kali ganda daripada motosikal MotoGP. Oleh itu, pemilihan tayar dengan cengkaman yang sangat baik adalah amat penting kepada pasukan, dan faktor tersebutlah yang didakwa oleh Valentino Rossi sebagai punca kegagalan pasukannya dalam musim tahun 2007.