Berdakwah Haji_Mahadi

Sebagai seorang yang berpendidikan agama, Haji Mahadi tidak pernah memisahkan tanggungjawab berdakwah meskipun bergelar seniman. Sewaktu tinggal di 'perkampungan artis' MFP di Boon Teck Road, Singapura, peranan dan sumbangan beliau dalam soal kebajikan dan dakwah dikalangan penduduk disitu begitu ketara. Menurut Allahyarhammah Seniwati Normadiah, Haji Mahadi disifatkan umpama seorang ayah kepada semua artis melayu pada ketika itu, beliau begitu dipandang tinggi kerana sifat beliau yang pengasih serta tidak jemu memberi panduan hidup dari aspek agama mahupun kebajikan (Berita Harian, 27 Februari 1983). Seniman Allahyarham Datuk Ahmad Daud juga mempunyai pandangan yang sama, malah antara nasihat Haji Mahadi yang sering diberikan kepada mereka (para artis) ialah, "jangan sesekali melupakan tanggungjawab untuk akhirat meskipun sibuk dengan kerjaya sebagai seniman". Haji Mahadi turut menjadikan madrasah yang ada di Boon Teck Road sebagai tempat beliau berdakwah, khususnya kepada golongan artis.(Berita Harian, 27 Februaru 1983).