Kerjaya Halim_Othman

Halim memulakan kerjaya awal sebagai pengacara Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1993, beliau yang lebih mesra dengan gelaran HO terus popular dan melekat di ‘minda’ peminat tanah air sebagai seorang pengacara televisyen dan penyampai radio dengan gaya tersendiri.[1]

Selepas menimba pengalaman sebagai pengacara SPM, Halim terus melangkah jauh apabila dipilih menjadi hos rancangan Roda Impian yang sememangnya diminati ramai pada 1996.[1]

Pada awal kemunculan, beliau dikenali menerusi stesen radio Era sebagai krew pagi di ERA. Digandingkan bersama Khairil Rashid, selepas itu Linda Onn, beliau amat diminati menerusi suara beliau yang gemersik. Menerusi ERA juga, beliau berjaya memenangi Anugerah Penyampai Radio Terbaik dalam Anugerah Bintang Popular selama 4 tahun berturut-turut. Beliau merupakan antara barisan penyampai terawal Era termasuk Khairil, Linda, Kudsia Kahar, David Low, Seelan Paul, Jamal Jamaluddin, Nadira Azizan, Subarma Mokhtaruddin dan Najman Mohamed.

Setelah kejayaan yang dikecapi, pengurusan ERA telah memindahkan beliau dari stesen berkenaan ke stesen radio retro terkenal Malaysia, Sinar FM. Bersama Sinar, beliau berjaya mencipta nama tersendiri dengan membentuk kumpulan pendengar yang pelbagai peringkat umur.

Pada 18 Januari 2008, Halim mengumumkan persaraannya dari kerjaya penyiarannya sekaligus menamatkan kerjayanya sebagai penyampai radio sambil menyatakan ingin menumpukan perhatian kepada bidang penulisan seni kaligrafi.[2][3]

Hot FM

Pada awal November 2009, beliau mengejutkan pendengar Hot FM kendalian Media Prima Berhad setelah muncul dalam sesi Hot FM Am Krew bersama Faizal Ismail.

Suria FM

Pada Januari 2010, Halim mengambil keputusan untuk menyertai stesen radio Suria FM sekaligus mengejutkan ramai. Turut menyertai stesen tersebut ialah penyampai radio wanita popular, Linda Onn. Kehadiran Halim yang mengendalikan Breakfast@Suria pukul 6pagi hingga 10 pagi bersama Zizi dan Viviana Layola serta berganding bersama Linda dalam Suria 20 ternyata berjaya menaikkan rating stesen tersebut dengan kenaikan 100% pendengar pada Mei 2010.[4][5]

Pada April 2016, Beliau kembali ke kaca TV selepas hampir sedekad.[6][7]