Biografi Hasan_al-Basri

Bapa beliau bernama Pirouz (Parsi: پيروز, kemudiannya dikenali Abol Hasan, atau bapa kepada Hasan), adalah tuan tanah Parsi (دهگان) di sebuah kampung Khuzestan dan menjadi hamba semasa kempen ketenteraan di zaman Khalifah Umar. Pirouz kemudiannya dibawa balik ke Madinah sebagai seorang mawali. Dalam kekacauan perang, Pirouz bersama dengan seorang perawan dari kampungnya, diberikan kepada Ummu Salama. Ummu Salama menghadiahkan mereka berdua kepada saudara terdekat beliau dan kedua-duanya berkahwin dengan tuan mereka dan dibebaskan [1]. Dikatakan Ummu Salama selalu menyusukan Hasan. Hasan kemudiannya dipanggil Tabi'in (generasi selepas sahabat).
Hasan menjadi guru di Basrah, (Iraq) dan menubuhkan madrasah di sana. Antara pengikutnya yang terkenal adalah Amr ibn Ubayd dan Wasil ibn Ata, pengasas mazhab Muktazilah.

Hasan adalah penyokong kuat nilai tradisional (orthodox) dan cara hidup zuhud. Menurut beliau takut adalah asas kepada moral dan kesedihan adalah ciri agama; kehidupan hanyalah perjalanan untuk ke akhirat, dan kesenangan hendaklah dinafikan untuk menewaskan nafsu. Hasan al-Basri juga dipandang tinggi oleh ahli sufi kerana sikap zuhudnya[2]. Walau bagaimanapun, beliau bukanlah seorang sufi.[3]

Hasan dikenali sebagai seorang yang suci jiwanya menyamai para sahabat. Dalam politik, beliau menentang sistem pewarisan khalifah dalam dinasti Umayyah tetapi percaya kepada pemilihan khalifah. Walau pun mempunyai pandangan kritis mengenai pemerintahan Umayyah, beliau tidak menyokong pemberontakan terhadap pemerintahan tidak adil khalifah Umayyah. Khutbah beliau mengandungi antara contoh terbaik dan terawal sastera Arab[4].

Beliau berkahwin dengan seorang wanita dari Ahli Kitab[5].