Keupayaan Hatake_Kakashi

Chidori

Sebagaimana yang dinyatakan oleh Sakura, Kakashi ialah shinobi termahir dalam teknik ninja di Konoha dan juga merupakan Jonin terkuat di kampungnya (merujuk kepada buku data manga). Kakashi lebih tertumpu kepada ninjutsu. Biasanya, dia akan meniru jurus pihak lawan dan menggunakannya semula terhadap mereka. Kakashi juga mahir mengendalikan genjutsu seperti yang diperlihatkan dalam ujian loceng dengan Pasukan 7. Naruto juga pernah mengakui bahawa taijutsu Kakashi jauh lebih hebat daripada Rock Lee yang juga amat berkemahiran dalam bidang tersebut. Kakashi mempunyai afiniti semula jadi terhadap elemen kilat. Jadi tidak hairanlah bahawa Kakashi pernah dilihat menggunakan beberapa jurus berelemen kilat seperti Chidori.

Kakashi mempunyai kumpulan Ninken atau 'anjing ninja' peribadi yang boleh diseru ke dalam pertarungan melalui 'Teknik Penyeruan'. Anjing-anjing peliharaannya dilatih oleh Kakashi sendiri dan anjing terkecil, Pakkun boleh bertutur. Kakashi menggunakan mereka untuk menjejaki sesuatu subjek tetapi mereka juga boleh menyerang pihak lawan seperti yang ditonjolkan dalam pertarungan dengan Momochi Zabuza; Kakashi mengarahkan mereka menyerang Zabuza melalui bau darah Kakashi pada pedang Zabuza.

Hampir kesemua teknik dan jurus yang dipelajarinya ditiru kecuali jurus terhebatnya, Chidori yang merupakan ciptaan tunggalnya. Versi terkini dikenali sebagai Raikiri kerana jurus itu dikatakan berjaya membelah panahan kilat. Versi ini adalah lebih berkuasa dan memerlukan daya mengawal chakra yang lebih tinggi.

Mata Sharingannya membolehkan Kakashi meniru jurus dan teknik pihak lawan di samping mengagak tindak-tanduk pihak lawan dengan sempurna. Oleh sebab mata Sharingan ini pada asalnya bukan kepunyaannya, ia sentiasa aktif. Bagi seorang Uchiha, hal ini tidak mendatangkan kemudaratan tetapi Kakashi yang bukan berdarah Uchiha terpaksa menggunakan lebih banyak chakra semasa menggunakan Sharingan. Untuk mengatasi masalah ini, Kakashi menutup mata kirinya dengan pelindung dahi dan menggunakan Sharingan dalam pertarungan yang benar-benar berisiko tinggi. Tahap penggunaan Sharingan Kakashi adalah sebaik Uchiha Itachi tetapi impak negatif Sharingan terhadap tubuh Kakashi menyebabkan Kakashi lebih lemah secara relatif.

Dalam Bahagian Kedua, Kakashi berjaya membangunkan Mangekyou Sharingan yang fungsinya agak berlainan dengan Sharingan Itachi. Kakashi berupaya memanipulasikan masa serta ruang dan jika difokuskan boleh digunakan sebagai teknik jarak jauh. Dengan versi Sharingan yang lebih hebat ini, Kakashi berjaya memindahkan tangan kanan Deidara ke dimensi lain. Kemudian, apabila klon Deidara cuba meletupkan dirinya untuk membunuh orang di sekitarnya, sekali lagi Kakashi menggunakan Mangekyou Sharingan untuk memindahkan klon tersebut ke dimensi lain. Mangekyou Sharingan amat meletihkan Kakashi dan menyebabkannya terbaring di hospital selama beberapa minggu setelah menggunakannya selama tiga kali.