Tangkapan Himpunan_Anti_ISA

Kira-kira 10,000 penyokong GMI telah berhimpun dan berarak secara haram sejak 7 pagi di sekitar Masjid Jamek, Dataran Merdeka, Masjid Negara dan sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman termasuk pusat beli belah Sogo, Jalan Raja Laut, Jalan Kinabalu kira-kira 2 petang. Turut serta ialah Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Penasihat DAP Lim Kit Siang. Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Wira Mohammad Sabtu Osman menyatakan bahawa polis akan menyiasat pemimpin tertinggi pembangkang yang berucap di Pejabat Agung Pas Pusat di Jalan Raja Laut kira-kira 3.55 petang. Bagi mengelak keadaan menjadi tidak terkawal, Pasukan Simpanan Persekutuan bertindak menyuraikan perhimpunan haram itu dengan gas pemedih mata selain pancutan air kimia. Polis juga melakukan tangkapan terhadap mereka yang terlibat dalam perhimpunan tersebut.

Kumpulan pro-ISA tidak kelihatan. Majlis Permuafakatan Ummah (Perwaris) membatalkan perhimpunan kerana akur dengan arahan. Sepuluh wakil Pewaris akan menyerahkan memorandum menyokong ISA kepada Yang di-Pertuan Agong. Mohd Khairul Azam, yang juga penasihat undang-undang Majlis Gabungan Badan Bukan Kerajaan Pembela Negara (Magaran), turut ditahan polis pada jam 7 malam kerana mendekati pintu Istana Negara bagi menyerahkan memorandum mengekalkan ISA. Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid menjelaskan memorandum kumpulan pro-ISA tidak pernah diserahkan kepada Istana Negara seperti yang didakwa oleh kumpulan tersebut. Wakil Istana Negara juga tidak hadir untuk menerima memorandum.[5]

Pihak polis telah menahan seramai 589 individu yang menyertai perhimpunan haram membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah menjelaskan bahawa seramai 549 lelaki dan 40 wanita ditahan untuk siasatan di bawah Akta Polis 1967. Seramai 545 orang dewasa dan 44 remaja berusia bawah 18 tahun turut ditahan. Dalam penangkapan tersebut, pelajar IPT awam dan swasta lingkungan 18-23 tahun telah ditahan.[6][7][8]