Hollow Hollow_dalam_Bleach

Nama-nama hollow yang tersenarai di sini adalah berdasarkan nama yang diberikan kepada mereka, sama ada dalam sirinya sendiri ataupun daripada buku-buku data.

  • Acidwire (アシッドワイヤー, Ashiddowaiyā) – Disuarakan oleh: Yuji Ueda (Bahasa Jepun), Liam O'Brien (Bahasa Inggeris)

Acidwire Merupakan hollow berbentuk ular yang dahulunya ialah abang kepada Inoue Orihime, iaitu Sora. Personaliti dan sifat perikemanusiaannya dikembalikan setelah sebahagian daripada topengnya dihancurkann oleh zanpakutō Ichigo. Bahagian atas tubuhnya kelihatan seperti tubuh manusia manakala bahagian bawah pula kelihatan seperti badan seekor ular. Nama berasal daripada kebolehannya untuk meludah asid.

  • Shrieker (シュリーカー, Shurīkā) – Disuarakan oleh: Hisao Egawa (Bahasa Jepun), John DeMita (Bahasa Inggeris)

Shrieker merupakan hollow berupa kelawar/katak yang menyerang Sado Yasutora. Shrieker mempunyai kebolehan untuk terbang dan mengawal makhluk-makhluk kecil yang dirujuknya sebagai "senjata" miliknya. Makhluk-makhluk ini boleh memuntahkan lintah dari kepala masing-masing yang akan melekapkan dirinya pada apa-apa objek yang dihinggapnya. Dengan menggetarkan lidahnya yang berbentuk garpu tala, Shrieker boleh menyebabkan lintah-lintah tersebut meletup. Ibu kepada roh budak lelaki tersebut dibunuh oleh Shrieker (hal ini dijelaskan oleh Shrieker apabila dia mengakui dirinya sebagai seorang pembunuh bersiri semasa dia hidup). Kini, dia menggunakan budak tersebut sebagai umpan untuk membunuh mana-mana shinigami yang ingin membawa rohnya ke Soul Society. Ganjaran untuk membunuh Shrieker adalah sebanyak 5000 kan (mata wang shinigami). Dia dihantar ke Neraka dan bukannya Soul Society kerana peranan zanpakutō hanyalah sekadar membersihkan dosa yang dilakukan oleh roh sebagai hollow, dan bukannya manusia.

  • Metastacia (メタスタシア, Metasutashia) — Disuarakan oleh: Hōchū Ōtsuka (Bahasa Jepun), Kyle Hebert (Bahasa Inggeris)

Metastacia merupakan subjek kajian Aizen Sōsuke beberapa tahun sebelum permulaan jalan cerita Bleach. Dia mempunyai kebolehan untuk memusnahkan zanpakutō sekali setiap malam apabila seorang shinigami menggarap tentakelnya. Dia juga berupaya merasuk mana-mana shinigami untuk mengambil alih tubuhnya serta memakan mereka daripada dalam untuk membentuk semula dirinya yang asal.

Metastacia mengambil alih badan Miyako (isteri kepada Shiba Kaien) dan menggunakannya untuk membunuh ahli pasukannya sebelum memakannya. Apabila Kaien bertarung dengan Metastacia, dia juga turut dirasuk olehnya. Hal ini memaksa Kuchiki Rukia untuk membunuh hollow tersebut. Tetapi, Metastacia telah direka untuk pulang ke Hueco Mundo selepas dibunuh supaya dia boleh dianalisa. Tetapi, pada ketika itu dia masih bersatu dengan Kaien. Maka, mereka berdua menjadi satu entiti tunggal. Beberapa lama kemudian, makhluk ini dimakan oleh Aaroniero Arruruerie. Sebagai akibatnya, Aaroniero memperoleh kebolehan Metastacia dan Kaien.

Nama Metastacia mungkin sekali berasal daripada perkataan Greek iaitu metastasis, yang bermaksud 'suatu keadaan yang berubah', yang juga merujuk kepada penyebaran kanser di dalam tubuh.

  • Bawabawa (バワバワ)

Bawabawa merupakan hollow berupa belut gergasi yang mempunyai topeng seperti pinggan dan sepasang tanduk di kepalanya. Dia bertindak sebagai haiwan peliharaan dan pengangkutan kepada Pesche, Dondochakka dan Nel Tu. Bawabawa seringkali berasa kecewa kerana sentiasa tidak disertakan bersama-sama adegan pengenalan kumpulannya yang digayakan seperti super sentai.

Pada awalnya, Pesche dan Dondochakka mengatakan bahawa Bawabawa tidak boleh hidup tanpa pasir, lalu menjelaskan mengapa Bawabawa tidak mengikuti kumpulan tersebut masuk ke dalam Las Noches. Akan tetapi, sewaktu pertarungan bersama Szayel Aporror Granz, Dondochakka mendedahkan kebolehannya meludah keluar Bawabawa daripada mulutnya. Pesche kemudian menjelaskan bahawa Bawabawa sebenarnya merupakan salah satu daripada roh-roh serangga yang hidup di dalam Dondochakka.[1]

  • Pesche Guatiche (ペッシェ・ガティーシェ, Pesshe Gatīshe) — Disuarakan oleh: Takehito Koyasu

Pesshe ialah hollow berbentuk manusia yang mempunyai topeng seperti serangga dengan sepasang mendibel yang besar. Dia memakai penutup mata dan cawat. Tidak seperti hollow lain, Pesshe agak jinak. Dia merantau bersama-sama dengan abang angkatnya, Dondo Chakka, adik perempuan angkatnya, Nel Tu dan haiwan peliharaan mereka, Bawabawa. Dia mahukan nama "Adik-Beradik Gurun yang Unggul" sebagai panggilan kepada kumpulan kecil mereka. Selepas Nel berkeputusan untuk mengekori Ichigo ke dalam Las Noches, dia juga cuba mengikuti Nel Tu tetapi bertembung dengan Ishida Uryū pula. Dia dan Dondo Chakka merupakan Fracción kepada Nel suatu masa dahulu, tetapi topeng mereka dicabut secara paksa oleh Nnoitra dan dibiarkan untuk mati bersama-sama dengan Nel.

Pesshe cenderung untuk menilai seseorang berdasarkan rupa paras luaran dan percaya bahawa Uryū merupakan ahli yang paling lemah manakala Chad sebagai ahli yang paling sasa. Dia juga nampaknya berasa gembira apabila Uryū mengingati namanya, tetapi dia sering keliru akan identiti sebenar Uryū; dia selalu memanggil Uryū Ichigo.

Air liur Pesshe boleh digunakan untuk mengurangkan geseran pada objek yang disemburnya - teknik ini digelar "Kelicinan Infiniti". Walaupun nampak tidak berguna, teknik ini menyebabkan senjata Cirucci tidak effektif apabila disembur dengan cecair tersebut dan mengakibatkan pihak lawan jatuh. Walaupun dinamakan "Kelicinan Infiniti", serangan ini masih mempunyai hadnya.

  • Dondochakka Bilstin (ドンドチャッカ・ビルスタン, Dondochakka Birusutan) — Disuarakan oleh: Daisuke Gouri

Dondo ialah hollow bersaiz besar dengan topeng tiki dan mata kompound. Dia bertutur dengan gaya Yakuza dan jinak jika dibandingkan dengan hollow lain. Walaupun tampak menggerunkan, dia mudah menangis dan sering risau akan sesuatu perkara. Dia merantau bersama-sama dengan adik-beradik angkatnya, Nel Tu dan Pesshe serta haiwan peliharaan mereka, Bawabawa. Dia mahukan "Tiga Beradik" sebagai nama kumpulan kecil mereka. Seperti Pesshe, dia cuba mengikuti Nel yang ingin mengekori Ichigo ke dalam Las Noches tetapi bertembung dengan Abarai Renji pula. Dondo merupakan orang bawahan Nel suatu ketika dahulu tetapi topengnya dicabut secara paksa oleh Nnoitra. Dia kemudiannya dibiarkan untuk mati dengan Pesshe dan Nel.

Seperti yang dijelaskan oleh Pesche, Dondochakka memiliki beberapa roh serangga di dalam perutnya. Salah satu daripada dimiliki oleh hollow ulat yang digelar Bawabawa. Dia boleh meludah roh-roh tersebut mengikut kehendaknya sebagai pembantu di dalam pertarungan.[1] Selain itu, dia membawa sebuah kanabō di dalam perutnya. Dia juga mampu melakukan serangan cero bersama-sama Pesche, yang digelar cero sincrético.