Kontroversi Ikatan_Muslimin_Malaysia

Slogan

Slogan ISMA :

  • Membangun Umat Beragenda

Slogan ini menggantikan slogan ‘Membina Generasi Harapan’ yang diguna pakai sebelumnya oleh ISMA[25]. Slogan ini membawa maksud ISMA mengajak agar umat Islam, khususnya di Malaysia, memiliki agenda besar untuk menjaga kepentingan Islam termasuk perpaduan umat Islam. Slogan ini dilihat sebagai slogan yang lebih universal berbanding slogan "Melayu Sepakat, Islam Berdaulat" yang khusus bagi permasalahan umat Islam Malaysia.[26]

  • Melayu Sepakat, Islam Berdaulat

“Melayu Sepakat”; menurut ISMA, bererti umat Melayu yang bersepakat dan bermuafakat dalam perkara-perkara yang berkait dengan kepentingan bersama, apatah lagi yang berkait dengan mendaulatkan Islam di tanah air. ISMA menggunakan firman Allah swt dalam Al-Quran yang bermaksud, “Bertolong-tolonglah kamu dalam kebajikan dan taqwa, dan jangan kamu bertolong-tolong dalam dosa dan permusuhan” (Al-Maidah) sebagai dalilnya. Lawan kepada “Bersepakat” adalah pertelingkahan yang membawa kepada hilangnya kekuatan. Firman Allah yang bermaksud, “Dan jangan kamu bertelingkah, nanti kamu rosak dan hilang kekuatan kamu. Bersabarlah, sesungguhnya Allah bersama orang-orang sabar” (Al-Anfaal)[27].


“Islam Berdaulat”; merujuk kepada kedudukan Islam sebagai sebuah sistem yang tertinggi dari aspek pemerintahan, pengaruh dan pembuat keputusan. Merujuk kitab-kitab Fiqh, kedudukan Islam yang tertinggi sering dirujuk kepada firman Allah swt dalam kitab Al-Quran bermaksud, “Dan Allah sekali-kali tidak akan menjadikan jalan untuk orang-orang kafir di atas orang-orang beriman”(An-Nisa': 141)[27]


Slogan ini menimbulkan spekulasi dan perbahasan dalam kalangan pejuang-pejuang, persatuan dan parti Islam di Malaysia. Perkataan 'Melayu' di dalam slogan ISMA itu sering ditafsir sebagai lambang perjuangan ISMA khusus kepada orang Melayu sahaja dan tidak bersifat universal kepada perjuangan Islam.

Menurut ISMA, istilah 'Melayu' digunapakai kerana di Malaysia, bangsa Melayu adalah kumpulan majoriti di Malaysia. Oleh kerana orang Melayu dirujuk sebagai orang Islam dalam perlembagaan, dengan membawa kesepakatan di kalangan bangsa Melayu membolehkan kepimpinan Islam dibentuk di peringkat pentadbiran negara. Walau bagaimanapun, ini tidak bermaksud kaum lain yang beragama Islam disisihkan. Yang utamanya bangsa Melayu memegang kuasa pentadbiran sebagai majoriti bumiputera di Malaysia.

Politik

ISMA mula terlibat dalam dunia politik Malaysia pada tahun 2013 dengan menurunkan calon daripada Biro Politik ISMA pada Pilihan Raya Umum ke-13.[28][29] ISMA menggunakan tiket parti BERJASA dengan kawasan-kawasan yang mereka bertanding majoriti pengundi adalah pengundi muslim tetapi diletakkan calon bukan muslim oleh parti kerajaan dan pembangkang.[30][31] Menurut ISMA lagi, jika di kawasan wakil ISMA bertanding terdapat juga calon Melayu atau Islam yang bertanding, mereka akan berundur dan bertanding di kawasan lain.[32]

Namun begitu, pendekatan ISMA menyertai PRU-13 telah disifatkan oleh sesetengah pihak sebagai politik perkauman.[33] ISMA tetap menegaskan bahawa mereka bukan parti politik dan kekal sebagai NGO bebas tanpa terikat dengan mana-mana parti politik.[34] Kesemua calon ISMA yang bertanding pada Pilihanraya Umum Malaysia ke-13 telah tewas namun sokongan yang ditunjukkan oleh masyarakat di kawasan Calon ISMA-BERJASA bertanding mencatatkan angka yang memberansangkan.[35][36]

Pendekatan politik ISMA dilihat tidak menjurus ke arah politik kepartian yang mengutamakan proses pilihanraya semata-mata, tetapi politik ISMA adalah politik untuk mendaulatkan Islam melalui proses pembinaan peribadi dan melalui tahap-tahap yang tersusun rapi.

ISMA dilihat cuba memberi solusi kepada permasalahan politik umat Islam dengan slogan "Melayu Sepakat Islam Berdaulat" yang dilihat ISMA sebagai misi jangka panjang dan berterusan serta bukan mengikut penggal pilihanraya, atau isu bermusim. Seruan ini telah sampai kepada masyarakat Malaysia yang turut membawa kesan kepada perubahan landskap politik pada Pilihanraya Umum ke-14.

ISMA dilihat mengambil intipati perjuangan tokoh gerakan Islam Hassan al Banna dalam Risalah Muktamar ke-5 Ikhwanul Muslimun yang menyeru kepada perpaduan Arab demi menjaga kedaulatan Islam, begitu juga yang dilihat ISMA, mereka menyeru kepada perpaduan Melayu di rantau ini demi menjaga kedaulatan Islam di Nusantara.[37]

COMANGO

ISMA menjadi badan yang terkehadapan dalam menggagalkan COMANGO. Ini juga mendatangkan ketidaksenangan aktivis Muslim liberal yang menganggap saranan COMANGO kepada Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu selari dengan ajaran Islam yang "benar" dan kedaulatan Perlembagaan Persekutuan.[38]

ISMA menuduh COMANGO membawa dan menyebarkan agenda liberal yang berasaskan Barat. Terdapat siri ceramah besar-besaran oleh ISMA bagi menerangkan bahaya COMANGO ini kepada masyarakat Malaysia.[39]

Berikutan kelantangan ISMA terhadap tuntutan COMANGO, Marina Mahathir telah memfailkan saman terhadap ISMA dan ahli jawatankuasanya berikutan sebuah artikel yang ditulis dan disebarkan mempunyai potret beliau dan dipercayai sebagai antara dalang dalam COMANGO. [40] Kes saman tersebut diselesaikan oleh kedua-dua pihak dengan Marina menerima pernyataan daripada Naib Presiden ISMA (pada ketika itu) Aminuddin bin Yahaya yang melahirkan kekesalan sekiranya artikel dan risalah-risalah yang diedarkan telah menyebabkan kepayahan dan kesan buruk serta memberikan gambaran yang salah terhadap Marina.[41][42]

Usaha ISMA, yang antara lainnya dengan mengumpulkan sebanyak 700 ribu tandatangan atas talian dan secara bertulis, ternyata berhasil apabila kerajaan Malaysia telah menolak tuntutan-tuntutan COMANGO dalam Proses Semakan Berkala Sejagat di Geneva.[43][44]

Hudud

Kenyataan Presiden ISMA (pada ketika itu) Ustaz Abdullah Zaik bin Abdul Rahman yang menyebut pendatang Cina yang dibawa masuk oleh Penjajah British adalah satu pencerobohan, sebagai reaksi balas terhadap segelintir orang Cina yang lantang mempersoal dan masuk campur dalam perbahasan tentang pelaksanaan hukum hudud, telah menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat mereka.[45] MCA dan DAP telah membuat laporan polis berkaitan kenyataan itu.[46] Susulan daripada itu, Ustaz Abdullah Zaik telah didakwa dan dijatuhkan hukuman bersalah menurut seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 kerana menerbitkan artikel berbaur hasutan. Beliau dikenakan denda sebanyak RM2,000.00 dan menerima keputusan tersebut dengan berlapang dada.[47][48]

Petisyen "Negara Islam"

Pada 26 Disember 2018, pertubuhan ini melancarkan suatu kempen menumpu kepada petisyen yang dipercayai sebagai suatu langkah menggalak dan mengukuhkan usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah "negara Islam" sepertimana yang ditunjukkan slogan Malaysia Negara Islam yang mendapat sokongan daripada seberapa tokoh-tokoh agama utama sekitar Malaysia.[49][50][51] Walau bagaimanapun, kempen ini sangat disanggah banyak kelompok penting termasuk G25, kelompok bekas veteran tentera Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT).[52][53]

Rujukan

WikiPedia: Ikatan_Muslimin_Malaysia http://www.astroawani.com/berita-malaysia/artikel-... http://www.astroawani.com/berita-malaysia/dalang-c... http://www.astroawani.com/berita-malaysia/marina-m... http://www.ismaaustralia.com/ http://www.ismaeropah.com/profil/pengenalan/ http://ismamesir.com/v2/category/info-isma-mesir/p... http://www.themalaymailonline.com/print/malaysia/m... http://accinmalaysia.wordpress.com/ http://inijalanku.wordpress.com/2009/07/28/tahniah... http://remajaisma.wordpress.com/