Kerjaya Imuda

Bidang penulisan

Dari usia muda lagi, Imuda sudah membuat keputusan untuk melukis. Selepas tamat Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) pada tahun 1978, beliau bekerja di United Books Company, sebuah syarikat yang agak dikenali ketika itu di Pulau Pinang.Di sana Imuda bertindak sebagai pelukis ilustrasi untuk beberapa majalah kanak-kanak, antaranya Dunia Kanak-kanak. Beliau turut bertindak sebagai pembaca pruf di syarikat tersebut.Imuda hanya bertahan selama 2 tahun di syarikat itu sebelum bekerja di sebuah kilang gula di Perai. Semasa bekerja sebagai pelukis ilustrasi, Imuda cuma dibayar RM110 sebulan, tetapi sebagai pekerja kilang, beliau dibayar RM15 sehari. Lebih mahal walaupun kerjanya agak teruk.Sewaktu majalah Gila-Gila mula meledak di pasaran pada tahun 1978, Imuda turut menyumbang karya-karya kartunnya ke majalah tersebut. Kartun beliau mula tersiar sejak keluaran kedua Gila-Gila.Dari situ beliau melebarkan lagi sayapnya ke penerbitan-penerbitan lain seperti majalah Gelihati dan Berita Minggu.Desakan jiwanya untuk menjadi pelukis membawa beliau memohon kerja di Dewan Bahasa dan Pustaka di Kuala Lumpur. Beliau kemudian diterima bekerja sebagai pembantu pelukis.

Teater, drama, dan filem

Semasa bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka, Imuda mula terlibat dalam bidang lakonan, bermula dengan teater. Tetapi sebelum mendapat peluang berlakon, beliau terpaksa mencuci lantai dan menolong mengangkat barang-barang di set lakonan.Akhirnya beliau ditawarkan untuk berlakon dalam sebuah pementasan berjudul Mayat. Bagi Imuda, itu bukanlah satu permulaan yang baik, apatah lagi beliau diminta berlakon sebagai mayat!Namun begitu, Mayat diterima baik oleh penonton dan Imuda serta kumpulan teaternya terus mengadakan persembahan hingga ke Sabah dan Sarawak.

Awal 1980an, Imuda membuat kemunculan pertamanya di slot Drama Minggu Ini melalui cerita Bahtera. Beliau dibayar RM50 untuk watak tambahan. Namun begitu, beliau rasa gembira, apatah lagi bila diminta untuk berlakon dalam beberapa drama selepas itu. Peranannya juga semakin besar dan beliau dibayar RM100.

Beliau kemudiannya dipelawa berlakon di dalam filem Mekanik, filem pertama beliau, di mana beliau merasakan tidak percaya bila dibayar RM600 untuk penggambaran selama 4 hari – apatah lagi di dalam format warna! Drama Minggu Ini dihasilkan di dalam hitam putih.

Pada hujung 1983, Imuda telah ditawarkan watak sebagai Budin dalam pementasan Syy… yang ditulis oleh Dr Hatta Azad Khan. Ceritanya adalah mengenai penduduk sebuah setinggan yang memprotes pihak Dewan Bandaraya yang mahu membina loji najis di kampung mereka, Kampung Seri Wangi. Hafsham, pengarah filem Mekanik, ketika menyaksikan pementasan tersebut, beranggapan ia mampu menjadi drama sitcom yang menarik. Lalu beliau mengusulkan ideanya di samping mengekalkan pelakon-pelakon yang asal. Pada mulanya, ia mengisi slot Drama Swasta di RTM pada tahun 1985, sebelum berhijrah ke TV3 dengan judul Kampung Seri Wangi, dan kemudiannya Pi Mai Pi Mai Tang Tu.Kalau sebelum ini Imuda hanya dikenali di kalangan penggemar-penggemar kartun sahaja, dengan sitcom tersebut beliau mula popular ke seluruh negara. Malah orang ramai lebih mengenalinya sebagai Budin sahaja daripada Imuda.

Tahun 1989, Hafsham menghasilkan sitcom 2 + 1. Imuda memegang watak sebagai Sam, seorang lelaki lembut. Turut bersama dalam sitcom tersebut ialah Louisa Chong, Susan Lankester dan Raja Ema. Sitcom tersebut menerima kritikan yang agak hebat terutama mengenai watak Sam. Dan tidak hairanlah siri tersebut hanya bertahan selama 3 tahun sahaja, berbanding dengan Pi Mai Pi Mai Tang Tu selama 14 tahun.Imuda turut menerima kritikan mengenai watak lakonannya itu. Tetapi bagi beliau, ia hanyalah untuk hiburan sahaja. Orang ramai tidak perlu ambil serius dengan lakonan beliau.Dalam pada itu, Imuda terus menerima tawaran berlakon untuk filem, antaranya Balik Kampung, Kembara Seniman Jalanan, Hati Bukan Kristal, Mat Som (diadaptasikan daripada karya Lat), Mat Gelap, Imigran dan Jutawan Fakir. Sehingga kini Imuda masih lagi aktif sebagai pelukis dan pelakon, di samping aktiviti-aktiviti seni yang lain,

Peserta Maharaja Lawak Mega

Pi mai ialah gandingan Imuda, Sulaiman Yassin (Mat Over) dan Sathiya, yang menyertai pertandingan Maharaja Lawak Mega dari 30 Oktober 2011 hingga 30 Disember 2011 di Shah Alam, Selangor dan disiarkan secara langsung menerusi slot Astro Warna saluran 132. Mereka tersingkir di minggu kedua akhir iaitu di Stadium Tertutup Majlis Bandaran Johor Bahru. Tema persembahan mereka ialah tema adaptasi daripada filem klasik dan konsep bebas. Juri tetap MLM, Chef Wan , penyanyi Siti Nurhaliza binti Tarudin dan jurulatih bola sepak Zainal Abidin Hassan serta juri jemputan, penyanyi Ferhad memberi markah 15.8 peratus. [1]