Sejarah Ineh

Mengikut kisah lagenda yang disampaikan turun-temurun, kononnya sebelum kampung Inas ini diteroka, sekitar kawasan ini dikuasai oleh Maharaja Jin yang bernama Maharaja Joing, yang beristanakan di Mahligai Lubuk Bunga sekarang ini.

Hulubalang Bendahara Sekudai bernama Tuk Sabun di Sungai Keruh telah mempengaruhi Maharaja Joing untuk dikahwinkan dengan Puteri Kanun yang duduk dipuncak gunung hulu Sungai Jerneh (sekarang dikenali sebagai Jeram Angin). Maka dengan helah Tuk Sabun dengan Puteri Kanun Maharaja Joing dapat dipenjarakan dibawah Mahligai Lubuk Bunga.

Semenjak itu lembah Sungai Jerneh telah boleh diteroka untuk dijadikan tempat penempatan dan sebagai tempat bercucuk tanan terutamanya sawah padi. Oleh kerana suburnya kawasan ini maka ramailah orang membuka tempat kediaman dan berkampung halaman. Kerana air sungainya sangat jernih, mereka sesama sendiri mengambil nama kampung ini sempena air sungai iaitu Air Jerneh, dipendekkan dengan sebutan Ineh dan ditulis dalam bahasa persuratan dan pemetaan sebagai Inas[3] kekal hingga digunakan kembali sebagai Ineh bermula November 2023[1].

Pada kurun ke-18, Luak Inas merupakan sebuah Luak yang berasingan dan bersendirian serta berkuasa dibawah ketuanya Penghulu Embun Seri seorang wanita bertaraf "Bergajah Tunggal". Inas juga dikenali dengan nama Jelai mengikut nama sungai serta diakui kekuasaannya oleh oleh Sultan Johor sebagai Luak yang berdaulat pada tahun 1760. Pada masa itu Penghulu Luak Inas bernama Bayan telah dikurniakan cop mohor kekuasaannya bergelar Datuk Johan Pahlawan Walat Kuala Diuh.S.H.1218 berkuasa dalam Luaknya.

Pada tahun 1773 satu persetujuan telah dibuat untuk menjemput Raja Melewar di Pagar Ruyung untuk ditabalkan sebagai raja di Negeri Sembilan. Penghulu Bayan telah meletakan sepenuh kepercayaan dan mewakilkan kuasanya kepada Undang Johol Datuk Setiawan II sebagai menandakan Penghulu Luak Inas juga menyertai persetujuan menjemput anak Raja dari Pagar Ruyung itu.

Datuk-Datuk Lembaga Luak Inas kurang senang dan tidak bersetuju atas langkah yang diambil oleh Penghulu Bayan, mereka menganggap itu sebagai penyerahan kuasa kepada Datuk Setiawan II, tetapi kedudukan Penghulu Bayan yang kukuh maka beliau tidak dapat dipecat.

Apabila Penghulu Bayan meninggal dunia, perbalahan orang-orang Inas tercetus kerana hendak memilh pengantinya. Perbalahan ini berlarutan dan tidak dapat kata sepakat. Maka dalam perbalahan ini Datuk Rambutan Jantan, Undang Johol ke IV menyalurkan pengaruhnya dengan menawarkan diri untuk menyelesaikan perbalahan itu. Cadangan itu telah diterima oleh orang-orang Inas bahawa Datuk Rambutan Jantan Undang Johol juga berkuasa di Inas sebagai Penghulu Luak Inas pada masa itu.

Namun selepas Datuk Rambutan Jantan digantikan oleh Datuk Nuri sebagai Undang Johol merangkap Datuk Penghulu Luak Inas barulah dapat dilantik Penghulu Luak Inas dari waris Inas iaitu Penghulu Mantik. Semenjak itu kekuasaan yang ada Penghulu Embun Seri dahulu tidak ada lagi pada Penghulu Mantik dan taraf Penghulu Luak Inas serta Luaknya dimasukan dibawah kekuasaan Lengkungan Tanah Mengandung, bagaimanapun kekuasaan dan pentadbiran Datuk Penghulu Luak Inas dapat mengekalkan kedudukannya hingga ke hari ini bersama Datuk Lembaganya dengan menerima Lemak Tanah atau Political Pensions dari pihak kerajaan.