Sinopsis Inoue_Orihime

Kisah awal

Orihime diperkenalkan sebagai kawan sekelas Ichigo yang menyukai Ichigo secara diam-diam walaupun dibantah oleh sahabat karibnya, Tatsuki. Pendedahan pertamanya kepada dunia paranormal berlaku apabila arwah abangnya, Inoue Sora menjadi hollow Acidwire. Berang, dia menyerang Orihime dan Tatsuki (yang diajak ke rumahnya untuk makan malam) dan memukul roh Orihime keluar daripada badannya. Dalam bentuk roh, dia menyaksikan pertarungan antara Ichigo dengan Sora. Ichigo mampu memenangi pertarungan itu tetapi perlawanan tersebut hanya berakhir apabila Orihime masuk campur. Sora menikam dirinya dengan zanpakutō Ichigo sekaligus membersihkan jiwanya, Orihime berpeluang mengucapkan selamat tinggal kepada Sora memandangkan dia tidak dapat berbuat demikian pada hari kematian abangnya.

Ingatan Tatsuki dan Orihime diubah oleh Kuchiki Rukia tetapi peristiwa tersebut telah membangkitkan kuasa semangat mereka berdua. Mereka sekali lagi dipengaruhi oleh kuasa semangat Ichigo apabila Ichigo membantu Don Kanonji menewaskan hollow dalam satu rancangan TV. Dia juga bersemuka dengan hollow apabila Ishida sengaja mengumpan hollow ke Bandar Karakura untuk bertarung dengan Ichigo. Hollow Numb Chandeliar menggunakan keupayaannya untuk mengawal beberapa pelajar lain dan memaksa mereka menyerang Orihime. Apabila Tatsuki cuba menghalangnya dan melindungi Orihime, dia berjaya dikawal oleh hollow tersebut pula. Apabila melihat mata Tatsuki bergenang, Orihime berkeputusan bahawa sudah tiba masanya untuknya melindungi Tatsuki. Hajat ini menukarkan pin rambutnya kepada enam roh berupa dewa dan dewi. Keenam-enam roh ini menggelar diri mereka sebagai "Shun Shun Rikka". Mereka menerangkan kuasa masing-masing kepada Orihime dan menggunakan kuasa tersebut untuk menewaskan hollow.

Selepas itu, Urahara Kisuke tiba di tempat kejadian dan membawanya serta Chad ke kedainya. Di sana, dia menerangkan kuasa baharu yang dipunyai mereka dan mengajak mereka menyaksikan pertarungan antara Ichigo dan Ishida dengan Menos Grande. Pada masa ini, Orihime mendedahkan bahawa walaupun Rukia telah mengubah memorinya semasa insiden kepulangan Sora sebagai hollow, dia tidak pernah melupakan peristiwa tersebut. Dia cuma tidak mahu mengingatinya kerana tidak sampai hati melihat Ichigo dan abangnya bertarung demi dirinya.

Babak Soul Society

Orihime dan Ishida yang sedang menyamar sebagai shinigami

Selepas Rukia dibawa pulang ke Soul Society, Orihime berkeputusan untuk mengikuti Ichigo, Chad, Ishida dan Shihouin Yoruichi untuk menyelamatkan Rukia. Pada kebanyakan masa misi ini berlangsung, Orihime ditemani oleh Ishida. Mereka berdua lebih berhati-hati dan tidak banyak menarik perhatian daripada shinigami lain berbanding dengan yang lain yang terpaksa bertarung di hampir setiap jalan yang dilalui.

Sebaik sahaja menjejakkan kaki ke Soul Society, mereka bertarung dengan Ikkanzaka Jirōbō dari Bahagian ke-7 yang menjadikan Orihime sebagai sasaran kerana Ishida lebih handal dalam kombat. Namun, Ishida dapat menewaskannya dengan mudah. Orihime mendapat idea untuk mencuri sepasang pakaian seragam shinigami supaya tidak mudah dijumpai. Apabila dua orang shinigami dari Bahagian ke-12 muncul, Ishida masih teragak-agak untuk menyerang mereka. Jadi, dia hanya menyaksikan Orihime membelasah dan memengsankan mereka berdua seorang diri. Orihime kemudiannya menjelaskan bahawa Tatsuki banyak melatihnya seni mempertahankan diri. Jadi, dia dapat berlawan seperti pemegang tali pinggang hitam dalam karate. Tetapi, apabila mereka bersemuka dengan Kaptan Bahagian ke-12, Kurotsuchi Mayuri, Ishida memaksa shinigami Aramaki Makizō dari Bahagian ke-11 untuk membawa Orihime keluar dari medan pertarungan.

Selepas itu, dengan bantuan daripada Kaptan Bahagian ke-11, Zaraki Kenpachi dan leftenannya Kusajishi Yachiru, Orihime dapat berjumpa semula dengan Chad, Ishida dan Shiba Ganju. Mereka berjaya menyelamatkan Rukia tetapi gagal menghalang Aizen Sōsuke, dalang bagi segala kejadian yang berlaku di Soul Society daripada bertolak ke Hueco Mundo.

Babak Bount

Dalam anime, Orihime pulang ke sekolah dan mula berbual-bual dengan Arisawa Tatsuki. Pada pagi itu, Abarai Renji muncul di perkarangan sekolah dalam bentuk gigai dan melaungkan nama Ichigo (Ichigo berlari keluar dari kelas untuk mendiamkan Renji). Lewat petang kemudian, Orihime didatangi oleh roh arwah abangnya yang memberitahunya bahawa dia kini berada di Soul Society dan tidak akan menjadi hollow lagi. Sementara itu, telefon bimbit Renji mengesan sumber kuasa semangat di sekitar rumah Orihime dan memaklumkan Ichigo tentang berita ini. Chad dan Ishida turut merasai kuasa tersebut. Di rumah Orihime, abangnya mula berkelakuan pelik dan mencadangkan mereka berdua keluar dari rumah sebentar. Apabila Renji, Ichigo, Chad dan Ishida tiba di tempat kejadian, sebuah pintu gergasi (seakan-akan gerbang Neraka) terapung-apung di luar rumah Orihime. Dia kemudiannya disedut masuk ke dalam pintu sementara tiga lembaga berdiri di atas bumbung rumah sambil bergelak ketawa. Keesokan harinya, semua orang, termasuklah Tatsuki tidak mempunyai sebarang ingatan tentang kewujudan Orihime.

Lembaga yang muncul pada malam semalam mengajak Ichigo dan rakan-rakan untuk bermain satu permainan jika mereka mahu mendapatkan Orihime semula. Tetapi, mereka menculik Chad pula dan tidak memulangkan Orihime. Salah seorang daripada tiga lembaga tersebut menyamar sebagai Orihime dan kemudiannya mendedahkan rupa sebenarnya; seorang lelaki tinggi lampai dengan misai, kaca mata dan topi tinggi bernama Kuroud. Seorang remaja kurus dengan penutup muka berzip turut muncul - namanya ialah Nova. Akhir sekali, datang seorang budak perempuan yang menelefon Ichigo. Namanya Ririn. Chad disedut ke dalam pintu besar dan mengurangkan bilangan ahli kumpulan Ichigo kepada tiga.

Selepas beberapa siri permainan, identiti tiga orang yang dikenali itu dibongkarkan sebagai roh modifikasi yang berada dalam bentuk gigai. Mereka memulangkan Orihime dan Chad tetapi mendedahkan bahawa salah seorang daripada lima sahabat itu adalah palsu. Permainan yang seterusnya mengkehendaki mereka mengenal pasti si palsu itu sebelum tamatnya waktu persekolahan atau rakan-rakan sekolahnya akan "menghilangkan diri". Setelah itu, Chad telah diketahui sebagai yang palsu. Dugaan terakhir adalah satu misi untuk menyelamatkan Chad. Ichigo kemudiannya menyedari bahawa Urahara telah merancang kesemua permainan ini.

Sebentar kemudian, Urahara mengatakan bahawa Ishida telah kehilangan kuasa Quincynya. Yoruichi muncul dan memberitahu mereka bahawa Bount telah muncul semula. Urahara menerangkan asal usul Bount kepada kumpulan Ichigo dan kerana mereka mempunyai kuasa semangat yang tinggi, mereka mungkin akan menjadi sasaran Bount yang seterusnya. Tiga roh modifikasi tersebut sebenarnya mengandungi alat pengesan Bount di dalam tubuh mereka. Jadi, dia mengarahkan Orihime untuk mengambil Kuroud dan di rumah, pil roh modifikasinya dimasukkan ke dalam sebuah beg arnab. Semasa dia memuji kecomelannya, Kon, Chad dan Nova (dalam bentuk patung kura-kura) muncul. Semasa berbual-bual, Nova dan Kuroud mengesan kehadiran Bount dan bergegas ke sana untuk menghalangnya menyerap roh manusia. Mereka terlewat dan berhadapan dengan Bount Utagawa Ryō yang kemudiannya meninggalkan tempat kejadian. Mereka juga merasai bahawa Ichigo sedang diancam bahaya dan berkejar ke lokasinya hanya untuk mendapati Utagawa Ryō melarikan Sōma Yoshino. Orihime sedar bahawa Kuchiki Rukia telah tiba di dunia manusia dan mengajaknya mencuba makanan di sebuah restoran sementara Ichigo dan Chad melihat kerenah mereka dengan hairan.

Selepas menerangkan kejadian sebenar kepada Rukia, mereka pulang ke rumah Ichigo dan mula bercakap. Tetapi, Renji tiba-tiba memecah masuk ke dalam bilik Ichigo. Orihime meneruskan usaha membantu Ichigo dan berlawan dengan Bount untuk menyelamatkan Ishida yang ingin diculik oleh Bount kerana nilainya sebagai Quincy. Orihime kemudiannya terpaksa bertarung dengan Rukia yang dirasuk oleh doll Mabashi, Ritz. Walaupun tidak sampai hati untuk mencederakan Rukia dan Bount tersebut, keupayaan Rukia untuk menguasai dirinya buat beberapa ketika memberi harapan kepada Orihime untuk menyelamatkan Rukia.

Orihime menemani Ichigo dan rakan-rakan ke Soul Society selepas Bount bertolak ke sana untuk membalas dendam atas penciptaan mereka. Di sana, kumpulan Ichigo terpaksa berpisah untuk mencari Bount di Rukongai. Dalam proses itu, Orihime menjumpai Ichigo. Sementara mereka membuat deduksi tentang lokasi Bount, mereka mengesan bahawa Rukia berada dalam bahaya. Mereka ingin membantu Rukia tetapi tiba di sana selepas pertarungan selesai; Kuchiki Byakuya telah menyelamatkan Rukia dan membawanya ke rumah Keluarga Kuchiki. Di sana, Ichigo dan Orihime diberitahu bahawa nyawa Rukia tidak terancam.

Selepas itu, kumpulan Ichigo mendapat maklumat tentang kedudukan Bount. Maka, mereka sekali lagi berpecah. Kali ini, Ichigo dan Ishida mengesan Kariya Jin yang sedang bertarung dengan Byakuya. Orihime dan Chad muncul semula apabila Ichinose Maki cuba menghalang kumpulan tersebut (sekarang mengandungi Hitsugaya Tōshirō, Abarai Renji dan Matsumoto Rangiku). Ichinose cuba membunuh semua orang di sana tetapi Zaraki Kenpachi tiba di tempat kejadian dan menghalang tindakan Ichinose. Mereka pulang ke Seireitei dan mendapati pengawal pintu Jidanbō cedera selepas dikalahkan oleh Bount. Orihime berkeputusan untuk tinggal di Rukongai agar dapat merawat luka Jidanbō. Beberapa lama kemudian, Orihime bertemu semula dengan rakan-rakannya dan menyembuhkan kecederaan Ishida dan Chad.

Babak Arrancar

Kepulangan kumpulan Ichigo ke alam nyata turut menandakan bermulanya semester baru persekolahan. Tetapi, kemunculan pelajar baru Hirako Shinji telah membawa beberapa siri masalah. Setelah mendapati perubahan sikap Ichigo secara tiba-tiba, Orihime dan Chad berhadapan dengan Shinji selepas mendengar perbualannya dengan Sarugaki Hiyori. Sebelum mereka sempat mengetahui apa-apa, Hiyori dibawa pergi oleh Shinji.

Tidak lama kemudian, dunia manusia diceroboh oleh dua orang arrancar, Ulquiorra dan Yammy. Orihime dan Chad berjaya menyelamatkan Tatsuki yang berada di tempat kejadian apabila arrancar tersebut menjejakkan kaki ke alam nyata. Ichigo turut tiba di sana tetapi tidak dapat bergerak apabila hollow dalamannya cuba mengambil alih minda dan tubuhnya. Ichigo, Chad dan Orihime dicederakan dengan serius oleh Yammy dan roh Orihime yang mempunyai kuasa pemusnahan, Tsubaki, musnah sepenuhnya. Mereka diselamatkan oleh Yoruichi dan Urahara.

Kejadian ini menyebabkan Soul Society mengerahkan sekumpulan shingami untuk mempertahankan dunia manusia. Rukia adalah salah seorang daripada pasukan tersebut. Kepulangan Rukia berjaya membangkitkan semangat Ichigo (yang sedang kemurungan) tetapi menyebabkan Orihime berasa cemburu dan bersyukur pada masa yang sama. Selepas meluahkan perasaannya kepada Matsumoto Rangiku (yang sedang menumpang di rumah Orihime), dia menjadi positif semula dan berazam untuk menjadi lebih kuat.

Selepas serangan kedua di dunia manusia oleh Grimjjow Jaggerjack dan lima arrancar lain, Soul Society akhirnya menyedari muslihat sebenar Aizen Sōsuke dan meminta Orihime menyampaikan sesuatu informasi kepada rakannya. Dia dapat menjejaki Ichigo yang sedang berada di ibu pejabat vizard dan menembusi benteng penghadang vizard tanpa banyak masalah. Hal ini mengejutkan Ushōda Hachigen yang mencipta benteng tersebut.

Orihime kemudiannya diminta untuk pergi ke kedai Urahara. Di sana, dia diarahkan untuk tidak melibatkan diri dalam apa-apa pertarungan. Sebahagian daripada tujuan ini adalah kelemahan kemahiran kombat Orihime, tetapi objektif sebenar Urahara adalah menghalang kuasa Orihime daripada menarik perhatian Aizen. Orihime yang tidak bersemangat menjadi lebih berkeyakinan setelah bercakap dengan Rukia. Tambahan pula, Tsubaki dipulihkan semula oleh Hachigen. Dia dan Rukia bertolak ke Soul Society untuk berlatih bersama-sama.

Malangnya, kebolehan Orihime telah berjaya menarik perhatian Aizen. Selepas melihat klip video yang dibawa pulang oleh Ulquiorra, dia berhasrat untuk menangkap Orihime. Rancangannya berjaya; Ulquiorra menculik Orihime semasa dia sedang bergerak menerusi terowong. Orihime terpaksa mengikuti arrancar tersebut setelah diugut dengan keselamatan rakan-rakannya.

Orihime diberi peluang untuk mengucapkan selamat tinggal kepada seseorang dan menggunakan masa ini untuk meluahkan perasaan cintanya kepada Ichigo. Dia juga cuba mencium Ichigo yang sedang tidur. Sebelum dia meninggalkan dunia manusia, Orihime meninggalkan beberapa nota yang tidak mengandungi maksud tertentu dalam sebuah buku catatan.

Babak Hueco Mundo

Apabila Orihime tiba di Las Noches, kubu pertahanan arrancar, Orihime diarahkan oleh Aizen untuk mendemonstrasi kuasanya kepada arrancar lain dengan memulihkan tangan Grimmjow. Selepas itu, Grimmjow meminta Orihime memulihkan tattoo nombor enamnya yang memberi signifikasi bahawa dia masih merupakan seorang Espada. Grimmjow kemudiannya membunuh Luppi untuk mendapatkan jawatannya semula.

Orihime diberikan sebuah bilik yang biasa sementara Ichigo, Ishida dan Chad berusaha untuk menyelamatkannya. Dia juga menerima pakaian baru yang kelihatan seperti seragam arrancar dan dimaklumkan oleh Ulquiorra bahawa Ichigo dan rakannya (kini melibatkan Rukia, Renji dan tiga hollow "baik") sedang cuba menyelamatkannya. Orihime juga nampaknya telah berpihak kepada Aizen. Dia diarahkan oleh Aizen untuk memabaiki Sfera Pembiasan yang telah rosak (digunakan secara keterlaluan untuk menukarkan banyak hollow kepada arrancar) dengan membalikkan masa dan memulangkan Sfera tersebut kepada keadaan asal iaitu sebelum digunakan oleh Aizen. Tetapi, sebenarnya Orihime merancang untuk memusnahkan Sfera tersebut dengan menghapuskan terus kewujudannya.

Apabila kumpulan Ichigo berpecah di Las Noches, dia mengesan kekalahan Chad kepada Noitora. Ulquoirra turut tiba di biliknya dan cuba menasihatinya untuk makan. Orihime pula berkeras mengatakan bahawa Chad masih hidup. Geram, Ulquoirra memberitahunya bahawa kesemua sahabatnya akan ditewaskan dan hanya si bodoh sahaja yang akan datang ke Hueco Mundo tanpa menyedari kekuatan diri. Orihime menampar Ulquoirra yang meninggalkan bilik Orihime apabila dia mula menangis.

Seketika selepas Ulquoirra meninggalkanya, datang dua gadis Arrancar, Lolly dan Menoly lalu memukul Orihime kerana merasakan cemburu terhadap tindakan Aizen yang memberi layanan istimewa kepada Orihime. Orihime yang dipukul oleh mereka masih mampu memberikan pandangan bersahaja malah tidak melawan. Kemudian datang pula Grimmjow yang mempersoalkan tindakan Lolly dan Menoly yang curi masuk ke bilik Orihime ketika Ulquoirra tiada. Grimmjow kemudiannya membunuh Menoly dan mematahkan kaki Lolly sebagai "membayar" hutang Orihime kerana menyembuhkan tanganya. Grimmjow kemudiannya membawa Orihime ketempat dimana Ichigo sedang terbujur kaku. Sebelum dibawa pergi, Orihime telah mengembalikan kaki Lolly malah nyawa Menoly yang menyebabkan dia di anggap raksasa oleh mereka berdua.

Ditempat Ichigo, Nell menangis sambil memberitahu Orihime bagaimana Ichigo menentang Ulquoirra sebelum Grimmjow mangarahkan Nell untuk diam. Sedang Orihime menyembuhkan Ichigo, datang lagi Ulquoirra yang mempersoalkan tindakan Grimmjow. Berlaku satu perkelahian antara mereka berdua yang menyebabkan Ulquoirra dikurung di dimensi lain buat sementara tetapi turut mencederakan tangan Grimmjow.

Grimmjow mengarahkan Orihime untuk cepat memandangkan kuasa Ulquoirra mampu membuka kembali kurungan itu dalam beberapa jam. Orihime membantah kerana Grimmjow pasti akan mencederakan Ichigo lagi selepas dia menyembuhkannya. Namun sebaliknya Ichigo meminta Orihime untuk menyembuhkannya beserta tangan Grimmjow kerana dia ingin mereka bertarung secara adil.

Pertarungan tercetus dan Ichigo menggunakan kuasa Vaizard yang menyebabkan Orihime bagai ketakutan kerana teringatkan abangnya. Dalam satu situasi yang menghimpit Ichigo, Nell telah meminta Orihime agar memberi galakan kepada Ichigo dan menjelaskan Ichigo datang ke Hueco Mundo demi dirinya dan menggunakan kuasa tersebut juga demi dirinya. Orihime yang sedar mula memberikan galakan dan mengatakan yang dia hanya mahu Ichigo terus hidup dan tidak kisah jika dia kalah. Ichigo yang seolah-olah mendapat semangat baru akhirnya berjaya mengalahkan Grimmjow.