Isi Iqro

Buku Iqro terdiri dari enam jilid, disebut Iqro 1 sehingga Iqro 6, yang kadangkala dijual secara berasingan dengan warna-warni berbeza, atau dijual sekali gus dalam satu buku.[2][3] Setiap jilid diawali arahan belajar. Halaman-halaman dalam buku ini sering diawali arahan di bahagian atas yang berisi pelajaran baru dalam halaman itu (contohnya, cara suatu huruf berubah bentuk ketika disambung). Arahan dalam bahasa Indonesia (contohnya "hati-hati" dan "perlahan di sini") kadangkala muncul di tengah-tengah isi pelajaran.[1] Berbeza dengan kaedah tradisional yang bergantung pengajaran ketat dari guru ke pelajar, buku Iqro dirancang agar dapat dipelajari secara lebih berdikari.[3][4] Guru hanya perlu memberikan sedikit arahan dan selanjutnya mendengarkan bacaan pelajarnya dengan pasif.[5][4] Buku Iqro tidak mengajarkan pemahaman erti dari teks-teks bahasa Arab yang dibaca,[6] tetapi pengetahuan cara membaca teks bahasa Arab dengan lancar dapat menjadi dasar bagi pelajar-pelajar yang ingin meneruskan belajar bahasa Arab di pesantren atau lembaga pendidikan lainnya.[1]

Keenam-enam jilid Iqro disusun dari peringkat kesukaran rendah ke tinggi.[7] Iqro 1 memperkenalkan huruf-huruf Arab dalam kedudukan berasingan dan hanya dengan vokal "a" (baris di atas, atau fathah). Iqro 2 memperkenalkan bentuk huruf bersambung (di awal, di tengah, atau di akhir), tetapi masih dengan fathah. Iqro 3 memperkenalkan vokal "i" (baris di bawah/kasrah) dan vokal "u" (baris di hadapan/dhammah). Iqro 4 memperkenalkan tanwin (penambahan bunyi -n selepas vokal), sukun (konsonan tanpa vokal), dan qalqalah (konsonan yang diikuti vokal pendek). Iqro 5 memperkenalkan pelbagai bentuk alif lam ("al-", artikel tertakrif dalam bahasa Arab), dan salah satu aturan tajwid iaitu idgham (peleburan). Jilid terakhir, Iqro 6, memperkenalkan aturan-aturan tajwid lain seperti iqlab (perubahan "n" menjadi "m") dan ikhfa' (penyamaran bunyi), dan aturan wakaf (penghentian bacaan dalam membaca Al-Qur'an).[7]