Sejarah Jabatan_Pendaftaran_Pertubuhan_Malaysia

Pada zaman pemerintahan penjajahan British, pihak penjajah British telah menggalakkan secara aktif kedatangan orang-orang keturunan Cina ke Malaya seperti mana negara disebutkan pada masa itu.

Pendatang-pendatang orang Cina adalah terlibat terutama sekali dalam aktiviti-aktiviti perlombongan timah dan perdagangan. Mereka yang terdiri daripada pelbagai kaum seperti Hakka yang berasal dari pendalaman Kwangtung, Kantonis berasal dari Canton, Hokkien berasal dari Daerah Amoy di Selatan Fukien dan suku-suku lain yang mempunyai perbezaan dailek, kebudayaan dan fungsi ekonominya. Semasa berada di Tanah Melayu, mereka telah membentuk perkumpulan yang dikenali sebagai "Huay Kuan" dan ”Kongsi".

Dari segi keahlian "Huay Kuan" dihadkan kepada mereka yang datang dari wilayah yang sama dan persamaan dailek di negeri China, manakala keahlian ”Kongsi” dibuka kepada mereka yang mempunyai nama keluarga yang sama. Ada juga perkumpulan yang dibentuk berasaskan kepada persamaan pekerjaan dipanggil ”Shay-Hui” dan pertubuhan lain yang bercorak kebajikan, keagamaan, sosio-budaya dan hiburan. Tujuan utama penubuhan "Huay Kuan", ”Kongsi” dan ”Shay-Hui” adalah untuk bertindak sebagai badan kerjasama untuk faedah bersama dan menyemaikan perasaan kekitaan serta memberi perlindungan di kalangan ahli-ahlinya. Pada amnya, badan-badan ini berorientasikan kebajikan dan memberi bantuan kepada ahli-ahli yang baru sampai dari China untuk mencari pekerjaan dan memberi tempat tinggal.

Di samping badan-badan yang disebutkan di atas, terdapat juga kongsi-kongsi gelap (disebutkan dalam Akta sebagai "Triad Societies") yang menjalankan aktiviti-aktiviti anti-sosial dengan cara menggunakan keganasan yang mengancam struktur pentadbiran penjajahan British. Akibatnya, secara berperingkat, pentadbiran penjajahan British telah mengawal keadaan dengan mengambil pelbagai langkah seperti berikut:

  • Menubuhkan jawatan "Secretary For Chinese Affairs" (SCA) yang bertanggungjawab mentadbir hal ehwal dan mengawal kegiatan yang tidak diingini dan masalah jenayah di kalangan orang-orang Cina.
  • Membentuk Societies Enactment 1899 di Negeri-Negeri Bersekutu yang bertujuan membendung aktiviti-aktiviti orang-orang Cina yang semakin ramai di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.
  • Meminda Enakmen 1899 pada tahun 1913 dengan memperuntukkan bahawa pegawai yang bertanggungjawab ialah "Registrar of Society" dengan memberi perhatian khusus dalam soal mengendalikan persatuan yang wujud pada masa itu. Di sinilah bermulanya fungsi Pendaftar Pertubuhan terhadap pengawalan aktiviti-aktiviti pertubuhan yang wujud pada masa itu. Enakmen ini dipinda dari masa ke semasa iaitu pada tahun 1927, 1947 dan 1949.
  • Enakmen Pertubuhan yang dipinda pada tahun 1949 dikuatkuasakan pada 1 September 1949 dengan mewajibkan pendaftaran ke atas semua pertubuhan yang ada pada masa itu. Sehingga 31 Disember 1949 sebanyak 1,590 pertubuhan telah didaftarkan. Enakmen ini terus digunapakai hinggalah selepas Malaya mencapai kemerdekaan pada 1957.
  • Enakmen 1899 telah digubal semula oleh Parlimen dalam tahun 1965/66 dan dikuatkuasakan pada 1 Februari 1966 dikenali sebagai Akta Pertubuhan 1966 (Akta 13 tahun 1966). Akta 1966 ini merupakan hasil keluaran yang melibatkan percantuman tiga ordinan berlainan sebelum ianya diluluskan, iaitu Ordinan 1949 untuk Persekutuan Tanah Melayu, Ordinan Pertubuhan 1957 bagi negeri Sarawak dan Ordinan Pertubuhan 1961 bagi negeri Sabah. Akibat daripada Akta tahun 1966 itu, Pejabat Pendaftaran Pertubuhan telah diwujudkan pada tahun 1966 untuk menguatkuasakan Akta, selepas ianya dipisahkan daripada Pejabat Pendaftaran Kesatuan Sekerja.