Biografi Jackie_Chan

Dilahirkan di Puncak Victoria, Hong Kong, China (kini sebahagian Republik Rakyat China), Chan adalah anak lelaki kepada Lee-Lee Chan dan Charles Chan yang berhijrah ke Canberra, Australia pada tahun 1960 sebagai pelarian daripada Perang Saudara Cina. Sebelum meninggalkan China, Lee-Lee dan Charles masing-masing bekerja sebagai pembantu rumah dan butler kepada Duta Besar Perancis di Hong Kong. Chan menghabiskan tempoh pembentukannya di dalam kawasan kediaman duta. Nama lahir Cinanya ialah Chan Kong-Sang yang bermakna "dilahirkan di Hong Kong".

Sebelum Chan menerimaguna nama kebaratan, "Jacky" dan kemudiannya "Jackie", beliau dikenali dengan sebilangan nama samaran yang lain. Sebagai bayi yang berat (5.5 kg (12 paun) pada kelahirannya, Chan mendakwa bahawa beliau menghabiskan 12 bulan dalam rahim), ibunya memberinya nama samaran "Pao Pao" (yang bermakna "Peluru Meriam"). Kemudian, semasa beliau belajar di Sekolah Opera Peking, beliau dikenali sebagai "Yuen Lo" sebagai tanda hormat kepada gurunya, Yu Jim-Yuen.

Semasa kerjaya lagak ngeri dan pelakonannya yang awal (sebelum Penumbuk Keberangan Baru pada tahun 1976), Chan dikenali sebagai "Chen Yueng Lung" (atau Chen Yuen Lung). Dalam autobiografinya, Chan menyatakan bahawa beliau mempergunakan nama ini yang hampir serupa dengan nama opera Sammo Hung, saudara operanya, supaya beliau tidak perlu membubuh nama sendiri pada filem-filem yang dirasainya tidak cukup memuaskan. Chan kemudian dikenali sebagai "Jacky", suatu nama yang diberikan oleh teman-teman sekerja Australia ketika beliau tinggal di sana pada tahun 1976-1977. [1] Bekerja di sebuah tapak binaan bersama-sama dengan seorang buruh yang bernama Jack, teman-teman sekerja Chan memberinya nama samaran "Little Jack" yang kemudian disingkatkan menjadi Jacky. Bagaimanapun, beliau menukarkan nama "Jacky" itu kepada "Jackie" semasa membuat filem, Pergaduhan Besar (The Big Brawl), dan inilah nama yang digunakannya sejak dari masa itu. Oleh sebab nama keluarga bapanya adalah Fong pada asalnya dan hanya diubah ketika tiba di Hong Kong, nama Cina Chan dalam rekod-rekod keluarga ditukarkan bertahun-tahun kemudian kepada "Fong Si Lung". [2]. Beliau juga telah disenaraikan dengan nama "Sing Lung" (bermaksud "sudah menjadi seekor naga" dalam satu percubaan untuk melompat keluar daripada bayangan Bruce Lee), khususnya berhubung dengan muziknya. Oleh itu, wataknya dalam filem Dubuk Yang Tidak Mengenal Takut yang dinamai "Shing Lung" mungkin tidak merupakan suatu kebetulan.

Tahun-tahun awal

Chan belajar di Sekolah Rendah Nan Hua tetapi pembelajarannya merupakan satu kesusahan dan oleh itu, ibu bapanya berasa bahawa beliau tidak sesuai untuk belajar di sekolah itu dan menghantarnya ke Institut Penyelidikan Opera Cina. Bagaimanapun, ibu bapanya kemudian mendaftarkannya di Sekolah Opera Peking (1961-1971) apabila mereka mengalami kesulitan kewangan. Pembelajarannya di sana berlangsung selama 10 tahun dan ketika di sana, beliau diajar kemahiran-kemahiran dalam akrobatik dan kung fu di bawah aturan hidup yang amat tegas. Adalah di sini bahawa Chan menyertai sebilangan murid yang lain yang kemudian menjadi ahli-ahli Tujuh Untung Nasib Kecil (Seven Little Fortunes), murid-murid terbaik sekolah itu, yang akhirnya menjadi pelakon-pelakon sezaman dalam industri filem Hong Kong. Murid-murid itu termasuk Yuen Wah, Corey Yuen, dan Yuen Qiu. Chan juga menjadi kawan rapat kepada Sammo Hung dan Yuen Biao yang kemudian dikenali sebagai Tiga Adik Beradik / Tiga Naga.

Selepas tamat sekolah, Chan menghadapi kepayahan untuk mencari kerja, khususnya kerana kemerosotan kepopularan Opera Cina. Selepas tinggal untuk beberapa waktu dengan ibu bapanya di Australia dan bekerja di tapak-tapak binaan, Chan ke Hong Kong. Serupa dengan bekas-bekas murid sekolahnya, beliau mendapatkan kerja sebagai pelagak ngeri dalam banyak filem, termasuk filem Bruce Lee iaitu Fist of Fury (1972) dan Enter the Dragon (1973), sebelum akhirnya ditawarkan peranan pelakonan. Amat awal dalam kerjayanya pada tahun 1975, Chan berlakon dalam sebuah filem komedi dewasa yang digelar All in the Family. "Aku terpaksa membuat apa-apa saja untuk mencari nafkah 31 tahun dahulu, tetapi aku berasa ini tak hairan kerana Marlon Brando juga pernah mendedahkan kulitnya dalam filem-filemnya," Chan berkata. Bagaimanapun, adegan-adegan dewasa ketika itu adalah lebih konservatif berbanding dengan filem-filem kini. Filem itu merupakan filem tunggal yang dilakonnya setakat ini yang tidak melibatkan sebarang perlawanan atau lagak ngeri. Chan mencapai kejayaan antarabangsanya yang pertama pada tahun 1978 melalui filem Drunken Master. Filem itu menggambarkan pahlawan rakyat China, Wong Fei Hung (yang dilakonkan oleh Chan) sebagai seorang budak nakal, berbanding dengan watak pesilat unggul yang dihormati sebagaimana yang digambarkan dalam filem-filem yang lain. Bersama dengan telatah dan daya tarikan Chan serta Yuen Siu Tien (juga dikenali sebagai Simon Yuen), bapa kepada koreografer silat yang termasyhur, Yuen Woo-ping, Pesilat Agung Yang Mabuk merupakan sebuah filem yang radikal pada masa itu. Filem itu mencapai kejayaan dan dicontohi oleh filem-filem gemar ramai antarabangsa yang lain.