Jalan_tanah
Jalan_tanah

Jalan_tanah

Jalan tanah, juga dikenali sebagai jalan tanah merah merupakan istilah bagi jalan raya tidak berturap yang dibina menggunakan permukaan tanah asal yang dilaluinya. Jalan tanah sesuai digunakan oleh kebanyakan kenderaan; varian lebih sempit yang boleh digunakan oleh pejalan kaki, haiwan, basikal dan motosikal pula dikenali sebagai denai. Jalan tidak berturap dengan permukaan lebih keras seperti batu kerikil dan agregat (batu-batan) juga ada kalanya dianggap sebagai jalan tanah, tetapi jalan-jalan tersebut dibezakan dengan nama-nama mengikut bahan permukaan oleh jurutera jalan.Berbanding jalan berturap serta jalan batu kerikil, jalan tanah tidak mempunyai landaian yang berarah ke tepi untuk mengalirkan air hujan ke tepi jalan, dan sistem perparitan selalunya tidak dibina sama sekali. Akibatnya, lopak air mudah terbentuk dengan banyaknya selepas hujan, dan jalan tanah mudah dibanjiri lumpur di beberapa tempat, menyebabkan ia tidak boleh dilalui sama sekali walaupun oleh kenderaan luar jalan. Atas sebab inilah jalan tanah juga dikenali sebagai jalan musim kering.Jalan tanah mempunyai perwatakan berbeza mengikut keadaan tanah dan geologi yang dilaluinya. Permukaannya boleh jadi berpasir, berbatu-batan, atau terdedah sama sekali, menyebabkannya sangat berlumpur dan licin ketika hujan dan keras ketika kering. Jalan tanah mungkin tidak boleh dilalui selepas hujan. Ia sering didapati di kawasan luar bandar (terutamanya kawasan pedalaman) di kebanyakan negara, dan ada kalanya boleh didapati di kawasan metropolitan di negara-negara mundur di mana ia turut dijadikan sebagai jalan raya utama dengan lebar jalan yang munasabah.