Sejarah Jeddah

Armada Lopo Soares de Albergaria di pesisir Jeddah

Jeddah diasaskan sebagai perkampungan nelayan lebih daripada 2,500 tahun yang lalu. Namun demikian, perkampungan ini hanya mendapat perhatian dalam tahun 647 S.M. apabila Khalifah Uthman ibn Affan menggunakan pelabuhan di Jeddah sebagai pelabuhan singgah untuk jemaah haji yang hendak menunaikan haji ke Mekah. Selepas zaman Khulafa al-Rasyidin, Jeddah menjadi bandar utama daerah Hijaz (ataupun Hejaz) dan terus berkembang menjadi pelabuhan utama untuk jemaah-jemaah Haji yang membuat perjalanan menggunakan jalan laut.

Pada penghujung abad ke-17, Kerajaan Uthmaniah menakluki Hijaz termasuk bandar suci Makkah dan juga pelabuhan Jeddah. Kerajaan Uthmaniah telah membina tembok kota Jeddah berikutan kemenangan mereka mengalahkan armada Lopo Soares de Albergaria Portugis dalam pertempuran di Laut Merah.

Semasa Perang Dunia I, Sharif Mekah yang menjadi wakil kepada kerajaan Uthmaniah di tanah Arab memberontak menentang kerajaan Uthmaniah dan menuntut satu kebebasan untuk negara Arab yang bersatu yang merentasi Aleppo di Syria hingga ke Aden di Yemen.

Selepas Perang Dunia I, Putera Ibn Sa’ud yang berasal daripada wilayah Najd menawan Makkah dalam tahun 1924, dan bandar-bandar Madinah dan pelabuhan Jeddah dan menggulingkan Sharif Makkah Hussein Bin 'Ali Al Hashem. Hussein melarikan diri ke Cyprus sebelum berhijrah dan menetap di Amman, Jordan di mana warisnya mengasaskan keluarga diraja Hashimiyah Jordan yang menjadi Raja Jordan. Dalam tahun 1926, Raja Ibn Sa'ud mengambil gelaran Sultan Hijaz di samping gelaran Sultan Najd.

Ketika ini, Jeddah sudah kehilangan kepentingannya dalam politik Semenanjung Arab. Hijaz pula dipecahkan menjadi wilayah-wilayah kecil dan Jeddah kini diletakkan di dalam Provinsi Makkah dengan bandar Makkah sebagai bandar provinsinya.