Plot Jelma

Musim 1

Rosli (Norman Hakim) adalah seorang pengusaha restoran yang percaya kepada tangkal dan azimat sebagai pelaris dan pendinding restorannya. Dia telah berkahwin dengan Azizah (Aida Aris) dan bakal menimang anak sulung. Tragedi melanda keluarga ini apabila kuasa hitam yang dipuja oleh Rosli meresap ke dalam kandungan Azizah. Azizah terpaksa melalui pengalaman bersalin yang paling mengerikan dan dia menemui ajal dalam keadaan paling luar biasa.

Rosli membesarkan anak tunggalnya Reza (Naim Daniel) bersendirian dengan bantuan pembantu rumah dan ibunya yang sudah agak uzur. Rosli tidak menyedari bahawa Reza mempunyai personaliti berbeza berbanding kanak-kanak lain. Dia suka menyendiri, bermain dengan plastisin yang dibentuk seperti patung azimat milik ayahnya dan boleh berbicara dengan makhluk halus. Reza juga hanya menggunakan kuasa jahatnya kepada individu-individu tertentu yang dirasakan mengancam dirinya termasuk nenek dan rakan sekelas di tadikanya. Neneknya dibunuh kerana cuba menjodohkan Rosli dengan seorang gadis sementara rakannya pula diserang sawan sejurus selepas merampas patung plastisin dari tangan Reza.

Kematian ibunya membuatkan Rosli tersentak dan dia diberi petunjuk. Dia pergi kerumah guru ilmu hitamnya yang bernama Wak Jang tetapi dimaklumkan bahawa orang tua itu sebenarnya sudah lama meninggal dunia. Rosli cuba menghapuskan azimat tersebut tetapi gagal. Azimat itu muncul kembali dan kali ini dia terpaksa berhadapan dengan kuasa yang yang merasuki Reza yang menghalangnya dari memusnahkan azimat. Rosli menyangka dia melalui pengalaman pra sedar dan anaknya masih kanak-kanak normal. Pembantu rumah Rosli juga melalui pengalaman ngeri dan nekad hendak berhenti kerja tetapi Rosli memujuknya supaya bertahan untuk seketika.

Sebagai jalan terakhir, Rosli meminta bantuan Yahya dan Ustaz Hashim untuk menghapuskan azimat tersebut. Ustaz Hashim telah pun memulakan usahanya tetapi jelmaan Reza memberontak dan tidak mahu mengalah. Rosli pula dalam keadaan terdesak cuba membuka kitab suci al-quran tetapi hanya helaian kosong sahaja yang wujud dan sebaliknya, amalan-amalan hitam datang menagih simpati darinya. Reza kesal kerana kejahilannnya itu telah mengorbankan nyawa isteri dan ibunya.

Musim 2 (Jelma II: Dendam dan Pembalasan)

Selepas berjaya menghapuskan Wak Jang tempoh hari, Rosli menghantar pulang Mak Tom ke kampung. Bagaimanapun dia tidak menyedari bahawa anaknya sendiri, iaitu Reza berdendam dengannya. Reza telah memuja semula Wak Jang dan juga jelmaan yang merupakan ibu bapanya untuk membalas dendam terhadap Rosli yang didakwa engkar dengan perjanjiannya sendiri dengan iblis.

Ketika dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, kereta yang dibawa oleh Rosli telah mengalami kemalangan dan mereka dikejarkan ke hospital. Rosli berada dalam keadaan koma selepas kemalangan tersebut.

Mak Tom yang juga terselamat dalam kemalangan tersebut, cuba memaklumkan anaknya Izam akan sifat sebenar Reza tetapi tiada siapa dalam keluarga yang mempercayai Mak Tom. Mereka menyangkakan Mak Tom sebenarnya menghadapi masalah mental hinggalah mereka sendiri ternampak akan kewujudan jelmaan tersebut.

Manakala Reza pula diletakkan di bawah penjagaan Ustaz Hayat, iaitu abang Ustaz Hashim. Oleh kerana Ustaz Hayat telah dimaklumkan lebih awal tentang siapa sebenarnya Reza ini, Ustaz Hayat juga cuba menghapuskan kuasa yang wujud dalam diri Reza tetapi malangnya Ustaz Hashim dan juga isterinya turut menjadi mangsa keganasan iblis yang melindungi Reza.

Episod baru Reza bermula selepas kematian Ustaz Hayat dimana dia kemudiannya dijaga oleh Datuk Ishak (Azri Iskandar) dan Datin Sandra (Nadia Mustafa). Atas nasihat Wak Hartono yang juga merupakan Wak Jang, Datuk Ishak membuat perjanjian akan melindungi Reza sepenuh hatinya. Datuk Ishak yang merupakan ahli politik yang sedang menghadapi zaman kejatuhan berjaya membersihkan reputasinya yang semakin tercemar dengan kes rasuah dan juga skandal seks. Tambahan pula, dia memang tidak mempunyai anak.

Kedatangan Reza dalam kehidupan keluarga Datuk Ishak dan Datin Sandra memang mendatangkan tuah sehinggalah Datin Sandra disahkan hamil. Datin kemudiannya mengalami banyak peristiwa yang pelik dan menggerunkan ketika berada di rumah bersama Reza. Pada masa yang sama, Datin juga sering terganggu dengan kemunculan seorang yang tidak dikenali yang sering megekorinya.

Semasa Ustaz Hashim membakar azimat, Reza bergelut dengan maut di bilik dan apabila Rosli dapat merempuh masuk, yang kelihatan hanyalah abu dan bau asap yang busuk memenuhi bilik anaknya itu. Reza ghaib dari pandangan dan yang kedengaran hanyalah suaranya merintih memanggil ayahnya. Rosli berpindah dari rumah itu tetapi semasa berada di atas dia dapat melihat anaknya Reza melambai kepadanya dari luar rumah.