Sinopsis Jin_Notti

Standard kesusilaan sesebuah masyarakat berbeza-beza antara satu sama lain. Namun dalam dunia jin, apa yang dianggap sebagai kelakuan yang terburuk di dunia manusia merupakan kelakuan yang terbaik.

Notti ialah jin gadis berusia 117 tahun yang amat sangat "buruk" kelakuannya. Lantaran, dia dihukum dan dikurung di dalam penjara yang digelar "All Alone" oleh Majlis Penghakiman Jin. Bagaimanapun, pemenjaraan tidak berjaya memulihkan Notti menjadi jin yang "baik". Ekoran, Notti dihukum turun ke dunia manusia untuk bergaul dengan golongan yang terjahat. Jinbara, peguamnya, diperintah oleh Majlis Penghakiman supaya menemani dan menasihatinya melakukan kenakalan pada sepanjang hukumannya di dunia manusia.

Meskipun demikian, Notti yang dihantar ke dalam badan Ruby gagal membuat jahat walaupun bergaul dengan Zulu, seorang pemudi punk yang nakal dan liar daripada keluarga berpecah-belah. Selepas kegagalan pertama, Notti meminta Majlis Penghakiman Jin membenarkannya memasuki tubuh gangster. Dengan kebenaran diberikan, dia memasuki tubuh Yvonne, seorang perempuan Cina yang merupakan teman wanita kepada ketua kongsi gelap. Walaupun demikian, Notti masih tidak berjaya kerana sifatnya yang murni sentiasa muncul pada saat yang genting, iaitu dia tidak sanggup menembak Ajiz, seorang polis yang menyamar. Bagaimanapun, atas rayuan peguamnya, Notti diberikan peluang ketiga dan terakhir. Dia memasuki badan Sharifah, seorang peguam yang sedang membela seorang perogol. Tanggungjawab seorang peguam bela adalah untuk membela pelanggan yang melakukan jenayah tetapi Notti sebaliknya mendedahkan jenayah pelanggan Sharifah. Oleh itu, dia gagal sekali lagi.

Jalan cerita Jin Notti dirumitkan apabila Notti mula jatuh cinta dengan Aziz, seorang lelaki yang ditemuinya. Dapatkah Notti bersama cinta dan mencari haluan kehidupannya yang tersendiri?