Kerjaya Johan_As'ari

Johan pernah belajar di sekolah pondok Pesantren As-Syuhada, Jambi, Indonesia selama setahun ketika berusia 20 tahun. Di situ, beliau melalui rutin hidup yang berdisiplin dan penuh dengan aktiviti keagamaan termasuk solat berjemaah, mendengar kuliah agama dan menghafaz ayat al-Quran. Namun begitu beliau tidak sempat menamatkan pengajiannya lalu kemudiannya bergelar mahasiswa dalam bidang kaunseling di Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM).

Demi minatnya yang mendalam terhadap lakonan, beliau sanggup menangguhkan pengajian peringkat diplomanya itu kerana beliau lebih meminati bidang lakonan berbanding kaunseling. Untuk itu Johan nekad untuk bermula dari bawah dalam industri perfileman.

Beliau berjinak-jinak dengan kerja belakang tabir disamping kerap menyertai ujibakat pencarian bakat baru seperti Mentor, Akademi Fantasia dan juga Pilih Kasih. Bakatnya tidak disedari sehinggalah disunting oleh Filmscape milik pengarah terkenal Kabir Bhatia untuk memegang watak kecil dalam drama bersiri seram Penunggu Gunung Raya sekaligus menjadi drama pertama lakonan Johan. Menerusi Filmscape juga, pengarah Faisal Ishak[1] menyunting beliau untuk membintangi drama bersiri Juvana di TV3 memegang peranan sebagai Botak, pelajar nakal di sekolah Wira Bakti untuk pesalah juvana.

Sebelum siri TV tersebut ditayangkan Johan pernah hampir terpilih untuk membintangi filem Gerimis Mengundang arahan pengarah prolifik Ahmad Idham, namun hasratnya itu tidak kesampaian biarpun telah dipertemukan dengan heroin filem tersebut, iaitu pelakon Indonesia, Olivia Lubis Jensen.

Ternyata rezeki Johan ada pada Juvana. Ekoran publisiti terhadap lakonannya dalam drama bersiri yang mencecah rating tinggi setiap minggu tayangannya itu, nama Johan disebut-sebut dikalangan peminat dan pemerhati industri. Populariti yang diraih menerusi drama tersebut membolehkan Johan menyertai barisan pelakon-pelakon lelaki muda yang dikatakan bakal bergelar pelapis.

Dalam masa yang singkat, Johan berpeluang berkongsi karya dengan pelakon-pelakon tersohor seperti Eman Manan dalam telefilem Janjiku Pada Alwalid serta bergandingan bersama aktres Fasha Sandha dalam drama bersiri Cinta Elysa.

Bekerja di bawah arahan Syamsul Yusof, Johan menjayakan peranan utama sebagai Yasin dalam filem biopik sejarah Mat Kilau yang mengisahkan tentang perjuangan pahlawan Melayu terkenal, Mat Kilau. Biopik Mat Kilau turut dijayakan oleh Ady Putra, Fattah Amin, Farid Amirul, A. Galak, Beto Kusyairy, Yayan Ruhiyan, Nadiya Nisaa dan bintang baru, Ali Karimie.[2][3]

Johan bersama-sama dengan Aeril Zafrel, Pekin Ibrahim, Riz Amin, Cristina Suzanne, Siti Saleha dan Dee Dee Nash telah menjayakan filem 7ujuh yang ditayangkan pada 8 November 2018. Yang mana beliau memegang watak sebagai Sam.[4]