Jurasik

Zaman Jurasik ialah zaman gelologi yang menjangkau dari 201.3± 0.6 juta tahun dahulu hingga 145± 4 juta tahun dahulu, iaitu dari akhir Trias ke awal Usia Kapur. Zaman Jura merupakan zaman pertengahan Mesozoik yang juga dikenali sebagai Zaman Reptilia. Permulaan Jurasik ditandai oleh peristiwa kepupusan Trias–Jura. Satu lagi peristiwa kepupusan iaitu peristiwa Akhir Piensbakia/Awal Toarsia berlaku pada awal Jurasik, dan peristiwa kepupusan yang ketiga iaitu Akhir Titonia berlaku di akhir Jura, tetapi kedua-dua kepupusan itu bukanlah antara lima peristiwa kepupusan besar-besaran yang utama. Jurasik dinamakan sempena Pergunungan Jura di banjaran Alps di mana stratum batu kapur dari zaman itu mula-mula dikenal pasti. Menjelang permulaan Jurasik, superbenua Pangaea telah mula berpecah menjadi dua bidang daratan yang berasingan, iaitu Laurasia di utara dan Gondwana di selatan. Ini membentuk banyak lagi garis pinggir pantai serta menganjakkan iklim kebenuaan dari kering ke lembap, sementara kebanyakan gurun gersang pada zaman Trias diganti oleh hutan hujan yang subur. Di darat, persada faunanya berubah daripada yang dikuasai oleh arkosaur dinosaurmorf dan krokodilomorf kepada yang dikuasai oleh dinosaur. Burung-burung yang terawal juga muncul sewaktu zaman Jurasik setelah berevolusi dari secabang dinosaur teropod. Lain-lain peristiwa utama termasuk munculnya biawak terawal dan evolusi mamalia pelahir anak, termasuk haiwan beruri yang primitif. Makhluk-makhluk buaya purba beralih dari hidup di daratan ke hidup yang lebih akuatik. Lautan-lautan diduduki oleh reptilia samudera seperti Ichthyosaur dan Plesiosaur, sementara pterosaur menjadi vertebrat terbang yang dominan.