Keselamatan KTM_Komuter

Kereta api Komuter digerakkan menggunakan kuasa elektrik dari pusatnya di Kuala Lumpur. Selain itu, pihak KTMB telah menyediakan empat buah stesen tambahan di Subang, Rawang, Salak Selatan dan Batang Benar bagi memberikan kuasa alternatif jika sekiranya bekalan elektrik terputus secara tiba-tiba.

Bekalan elektrik ini akan disambungkan serta merta ke tempat yang diperlukan dan komuter akan terus bergerak seperti biasa. Sungguhpun komuter mungkin bergerak perlahan pada permulaannya, tetapi ia tidak akan menjejaskan penumpang.

Dari segi keselamatan, komuter dilengkapi sistem keselamatan yang canggih. Jika berlaku kerosakan kepada sistem aliran kuasanya, umpamanya wayar terputus, ia tidak akan menyebabkan kemalangan atau bahaya kejutan elektrik kerana aliran kuasa akan mati secara automatik. Oleh itu, pengguna atau penduduk yang tinggal berhampiran landasan, tidak perlu khuatir terhadap keselamatan mereka.

KTMB turut mengadakan aktiviti bagi memberikan keseronokan kepada penumpang kecil. Biasanya pada masa cuti tertentu KTMB mengadakan kegiatan melukis atau seumpamanya. Selain untuk tujuan promosi, ia juga bertujuan memberikan keceriaan kepada penumpang kecil itu serta keluarga mereka.