Sejarah Kampung_Parit_Kassan

Menurut cerita lisan yang diceritakan oleh orang-orang lama di kampung ini, sejarah awal pemugaran kampung ini telah dilakukan oleh Embah Piee yang berasal dari Tanah Jawa dan berhijrah ke Tanah Melayu dan membuat penempatan di sini sekitar tahun 1890-an.

Dengan kudrat tulang empat kerat, Embah Piee dengan bantuan anak-anaknya telah menebang hutan bagi membuat kawasan penempatan untuk mendirikan pondok serta bercucuk tanam. Ketika itu, penempatan ini masih belum bernama lagi, sementelahan usaha memugar kawasan hutan belukar diteruskan.

Setelah Embah Piee kembali ke Rahmatullah, usaha membina penempatan seterusnya menjadikannya sebuah kampung telah disambung oleh menantunya, Embah Kassan.

Mengikut cerita lisan juga, kampung ini telah dibuka sekitar tahun 1911 (ada juga yang menyatakan ia dibuka sekitar tahun 1917), walaupun tiada fakta yang tepat mengenai tahun pembukaan kampung ini, namun sejarah telah membuktikan bahawa hasil semangat kerjasama dan ketabahan yang ditunjukkan oleh keluarga Allahyarham Embah Piee telah dapat membina satu penempatan yang menjadi tempat tinggal untuk anak cucu serta generasi keturunan beliau hingga ke hari ini.

Pada ketika itu, keadaan rupa bumi yang berpaya telah memaksa peneroka kampung ini membina parit bagi menyalirkan air daripada bertakung untuk memudahkan mereka bercucuk tanam di samping menggunakan sumber air tersebut untuk kegunaan harian seperti memasak, mandi-manda dan mengambil air sembahyang.

Mengambil sempena semangat gigih yang ditunjukkan oleh Embah Kassan, para penduduk kampung yang ada ketika itu bersepakat menamakan kampung ini sebagai Kampung Parit Kassan bagi mengenang jasa beliau serta keluarganya sebagai peneroka awal kampung.

Keluasan kampung ini melebihi 1400 ekar dengan kawasan sempadannya terdiri daripada Kampung Parit Turun, Parit Haji Idris, Parit Rabu, Simpang Lima Darat, Kampung Konggo Sagil, Sagil Parit Dua dan Melayu Raya.

Kampung ini terdiri daripada dua rangkaian penempatan iaitu Parit Kassan dan Parit Kassan Lapis.