Kapak_binjai_manis

Kapak binjai manis merupakan sejenis senjata yang termasuk dalam kategori kapak kecil. Kapak binjai manis adalah secara umumnya, kapak kecil yang bersaiz kira-kira sejengkal yang dicipta khusus untuk disorok dalam genggaman tangan, dengan kegunaan utamanya adalah sebagai senjata dilontar. Bagaimanapun, kapak binjai manis juga boleh digunakan sebagai senjata jarak dekat dengan matanya digunakan bagi menakik dan tangkainya yang memiliki hujung yang berbentuk runcing digunakan bagi menusuk pada bahagian kepala, mata dan bahagian lemah lain lawan. Kapak kecil menjadi kegemaran ramai suatu masa dulu di Kelantan kerana ia senang di bawa dan pelbagai guna, sama ada untuk senjata dan boleh digunakan untuk kerja-kerja harian yang agak ringan.[1] Mata kapak yang kecil dan tangkainya yang pendek memudahkan ia disembunyikan dalam genggaman sebelum dibaling pada sasaran tanpa menarik banyak perhatian. Kepala kapak yang berat itu mampu memecahkan tempurung kepala mangsa dan membunuhnya. Ia juga digelar kapak bungkus atau kapak terbang kerana ia merujuk kepada cara kapak itu digunakan semasa menyerang. Perbezaan kapak binjai manis dengan kapak kecil Kelantan adalah pada segi bentuk mata dan tangkainya.Kapak binjai manis menjadi senjata kegemaran golongan samseng, kaki gaduh atau 'gedebe' kerana saiznya yang kecil memudahkannya diselit pada lilitan kain di pinggang atau semutar iaitu kain lilitan kepala lelaki.