Pemindahan Kapal_korek_di_Malaysia

Sebagai makluman, terdapat sejumlah kecil kapal korek yang pernah beroperasi di Malaysia telah berjaya menarik minat syarikat -syarikat perlombongan yang beroperasi di beberpa buah negara luar. Kebanyakkannya dipindahkan ke Kepulauan Bangka, Indonesia. Berdasarkan sejumlah kecil maklumat yang berjaya dikumpulkan setakat ini, berikut adalah sebahagian dari sejumlah kapal korek yang berjaya dikenal pasti telah dipindahkan ke luar negara.

Kapal 1

Kapal 1 yang pernah suatu masa menjadi kapal korek terbesar di dunia telah pun tiada tinggalannya di Tanjung Tualang kerana pada tahun 1980 ia telah dibuka dan dileraikan serta dihantar ke PhuketThailand.

Selangor D2

Kapal korek kedua (SD2) milik Selangor Dredging Berhad pula telah dijual pada tahun 1986 kepada PT Koba Tin, sebuah syarikat perlombongan bijih timah yang beroperasi di Kepulauan Bangka, Indonesia. Firma OCI Engineering Sdn Bhd (OCIE) dilantik sebagai kontraktor bagi memindahkan kapal korek berkenaan.

Peringkat pertama

Kapal korek SD2 itu mula dileraikan pada tahun 1987 oleh firma OCIE, kemudian ceraian komponennya diangkut melalui jalan darat ke Johor.

Peringkat kedua

Disebabkan kapal korek itu perlu dioperasikan secepat mungkin, maka pada masa yang sama iaitu ketika kapal korek sedang dileraikan, sebuah pontun baru dibina di Jakarta. Walaupun pontun asal SD2 masih berkeadaan baik, tapi ini dilakukan untuk menjimatkan masa pemindahan selama enam bulan kerana kebiasaannya pontun yang terletak dibahagian bawah kapal adalah komponen dalam giliran terakhir untuk dileraikan. Setelah kerja melerai selesai, pontun asal SD2 dilupus dan dijual sebagai besi skrap.[13]

Peringkat ketiga

Pontun baru yang telah siap dipasang di Jakarta dengan berat 1,100 tan telah ditunda hingga ke perairan Johor. Struktur serta komponen kapal korek SD2 yang telah dipindahkan mula dipasang semula iaitu pada pontun baru berkenaan di Johor. Sistem rawatan pengasingan bijih timah telah diubahsuai mengikut kesesuaian kehendak PT Koba Tin. Rombak rawat (overhaul) dan pembaikan komponen terpakai turut dilaksanakan. Kapal korek ex-SD2 yang telah siap dibina semula di Johor kemudian ditunda pula hingga ke Kepulauan Bangka dimana sebuah terusan yang menghubungkan laut dan kawasan operasi perlombongan telah pun digali terlebih dahulu bagi dilalui oleh kapal korek berkenaan. Kapal korek ex-SD2 ditauliahkan semula kedalam perkhidmatan PT Koba Tin dengan nama 'Merapin' pada 1988.[13]

Petaling D7

Ini adalah kapal korek dengan berat mencecah 6000 tan yang dilengkapi pencedok berkapasiti 24 cu ft (680 liter). Pengeluaran tahunan adalah 7,000,000 cu m. Loji rawatan rawatan pengasingan bijih telah ditukar daripada timah kepada loji rawatan pengasingan rutil. Kapal korek (Pet D7) telah dipindahkan dari Malaysia ke Gangama, Sierra Leone. Kapal korek ini kemudian dinamakan semula sebagai 'Solondo Dredge' di negara berkenaan.

Sri Dengkil

Kapal korek Sri Dengkil turut mengikut jejak langkah SD2. Ia telah dijual kepada PT Koba Tin, dilerai dan dipasang semula di Kepulauan Bangka, Indonesia dan ditauliahkan kedalam perkhidmatan PT Koba Tin pada 1995 dengan nama 'Bemban'.[13]

  • Nota Info: Solondo Dredge telah terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan ia terbalik pada Julai 2008[27] hingga mengorbankan dua anak kapal manakala Bemban Dredge pula terbalik pada Januari 2018[28] di tebing lombong akibat ribut/ombak setelah terbiar lama tidak beroperasi sejak 2013 (tiada kematian).

Luputnya sebuah kegemilangan

Dengan terpindahnya kapal korek SD2 dan Sri Dengkil ke Indonesia, maka status kapal korek terbesar di Malaysia dipegang oleh kapal korek Sri Dermawan di Perak. Sri Dermawan dengan berat 5400 tan kemudiannya dilupus dan dijual oleh MMC pada bulan Mac 2001 meninggalkan kapal korek TT5 di Tanjung Tualang, Batu Gajah, Perak sebagai kapal korek terbesar yang masih wujud di Malaysia hingga kini.

Rujukan

WikiPedia: Kapal_korek_di_Malaysia http://cdn1.i3investor.com/my/files/dfgs88n/2000/0... http://malaysianminerals.com/savethedredge.pdf http://www.rakyatpos.com/kapal-keruk-koba-tin-terg... http://digicoll.library.wisc.edu/cgi-bin/EcoNatRes... http://site.ocie.com.my/main/3130/index.asp?pageid... http://site.ocie.com.my/main/3130/index.asp?pageid... http://site.ocie.com.my/main/3130/index.asp?pageid... http://site.ocie.com.my/main/3130/index.asp?pageid... http://www.ocie.com.my/Clients/ociecommy/dredge-cp... http://www.ocie.com.my/main/3130/index.asp?pageid=...