Penerangan Kartrij_ROM

Kartrij ROM merupakan salah satu cara bagi menambah fungsi atau kandungan — contohnya, permainan video yang dimainkan pada konsol permainan video atau program perisian berbeza yang dijalankan pada satu komputer serba guna. Sistem ini dipopularkan oleh komputer rumah terawal seperti Atari 400/800 dan Commodore 64, di mana satu port bas khas disediakan untuk membolehkan kartrij yang mengandungi perisian yang disimpan di dalam cip ROM dimasukkan. Pada kebanyakan kes rekaannya agak kasar, dengan keseluruhan bas alamat dan data terdedah oleh port tersebut; kartrij tersebut dipetakan ingatannya terus ke ruang alamat sistem. Sistem jenis ini dipelopori oleh sistem permainan TV terawal, serta terus menjadi media storan konsol permainan sehingga kini. Kelebihan kartrij berbanding pendekatan lain seperti memuatkan perisian dari media lain ialah perisian dari kartrij boleh didapati dengan segera tanpa masa muatan serta dikendalikan dalam bentuk yang kukuh serta tahan kerosakan. Namun demikian, ketahanan terhadap kerosakan bergantung kepada reka bentuk. Walaupun ia lebih mudah dilindungi daripada CD yang boleh dicalarkan, ataupun pita kaset yang boleh ditarik keluar, cip di dalam kartrij masih boleh dirosakkan dengan kejutan yang mencukupi, terutamanya jika perumahnya tidak menjadikan kartrij kekal stabil. Sesentuh yang terdedah juga boleh dirosakkan oleh pengumpulan bendasing, kerosakan fizikal serta kehausan.