Penggunaan Kartrij_ROM

Komputer yang dikenali menggunakan kartrij sebagai tambahan kepada storan magnetik ialah Commodore VIC-20 dan 64, Keluarga Atari 8-bit (400/800/XL/XE), Texas Instruments TI-99/4A (di mana ia dipanggil Modul Perintah Keadaan Pepejal serta tidak dipetakan terus ke bas sistem) serta IBM PCjr (di mana kartrij dipetakan ke ruang BIOS).

Dari lewat 1970an sehingga pertengahan 1990an, kebanyakan konsol permainan video rumah adalah berasaskan kartrij. Semasa teknologi CD mula digunakan secara meluas sebagai storan data, kebanyakan syarikat perkakasan beralih daripada kartrij kepada sistem permainan berasaskan CD, memandangkan CD-ROM lebih murah untuk dikeluarkan serta boleh menyimpan lebih banyak data. Nintendo kekal sebagai satu-satunya pengeluar sistem kartrij serta tidak membangunkan sistem berasaskan media optikal sehinggalah beberapa tahun kemudian, sebaliknya memilih untuk menjadikan sistem generasi seterusnya iaitu Nintendo 64 berasaskan kartrij. Pendekatan tersebut dipersoalkan oleh kebanyakan orang dalaman industri, yang mendakwa permainan berasaskan kartrij tidak mungkin boleh sepanjang atau sekompleks permainan berasaskan CD, seperti pada sistem pesaing seperti Sony PlayStation dan Sega Saturn, serta kos pengeluaran kartrij yang tinggi berbanding media optikal akan menjadikan sistem berasaskan kartrij mempunyai harga yang tidak kompetitif. Kesudahan ekonomik yang dideritai Nintendo hasil pertaruhan tersebut sering dianggap sebagai penamat kepada sistem permainan rumah berasaskan kartrij. Sungguhpun demikian, walaupun mempunyai saiz storan yang kecil, kartrij Nintendo 64 membolehkan masa muatan yang lebih pantas serta ciri-ciri pencegahan cetak rompak yang lebih kukuh berbanding saingannya.

Menjelang 2001, masa muatan yang ditambah baik bagi permainan berasaskan cakera menyebabkan Nintendo melancarkan konsolnya yang seterusnya, GameCube, yang menggunakan format berasaskan mini DVD yang mempunyai mekanisme pencegahan cetak rompak yang lebih baik berbanding DVD biasa.[petikan diperlukan]

Kapasiti kartrij permainan sering dinyatakan dengan salah. Walaupun amalan tahun 1990an yang menyatakan kapasiti ROM dalam "meg" — yang boleh dikelirukan antara megabit dan megabait — sudah tiada lagi, kartrij perisian permainan sering disebut sebagai, contohnya, '512 megabit' dan bukannya '64 megabait' yang lebih mudah difahami.