Biografi Kasma_Booty

Sebelum bergelar bintang filem, Kasma terlebih dahulu bergiat sebagai pelakon teater tradisional bangsawan dengan kumpulan Rayuan Asmara di Medan pada usia belasan tahun. Kesempitan hidup mendorong Kasma untuk berdikari dan sejak belasan tahun lagi, Kasma telah membawa diri merantau ke Malaysia (waktu itu Malaya) dan mendapat kerja sebagai pelakon bangsawan di Pulau Pinang dan Singapura.

Kasma memulakan kerjaya lakonan di usia muda disebabkan kesempitan hidup iaitu seawal umur 14 tahun. Filem pertama yang dibintanginya ialah filem Chempaka (1947), diikuti filem Pisau Berachun, Nur Asmara, Rachun Dunia, Bakti, Dewi Murni, Sejoli, Juwita, Manusia, Mahsuri, Keris Sempena Riau, Selendang Merah, Siti Payung, Ratapan Ibu, Tangkap Basah, Anak Manja dan Ragam P. Ramlee.

Pada tahun 1952 pula, beliau berhadapan dengan kontroversi terhadap pengurusan Shaw Brothers sehingga berlarutan ke mahkamah. Namun, demi mempertahankan prinsip dan maruah beliau membuat keputusan menarik diri daripada membintangi filem Antara Senyum Dan Tangis.

Kasmah Binti Abdullah gambar 1952.

Pada tahun 1958, atas permintaan Almarhum Tunku Abdul Rahman, Kasma berlakon filem Mahsuri terbitan Cathay Keris.

Pada era akhir pembabitannya dalam lakonan, Kasma banyak berlakon dalam filem terbitan Studio Merdeka di Hulu Klang. Antaranya filem Keris Sempena Riau, Selindang Merah, Ratapan Ibu (L. Krishnan), Siti Payong, Tangkap Basah, Anak Manja (Salleh Ghani) dan Ragam P Ramlee (P Ramlee).

Di zaman kegemilangannya juga beliau pernah mendapat jolokan sebagai Elizabeth Taylor Malaya dan Ratu Filem Melayu kerana kejelitaan paras wajahnya. Tidak hanya memiliki rupa paras yang jelita, beliau mempunyai segala aura dan karisma yang diperlukan sebagai seorang Primadona Melayu pada zaman meledaknya filem Melayu klasik di Jalan Ampas, Singapura satu ketika dulu. Tidak hairanlah mengapa beliau turut dihormati seniman dan seniwati seperjuangannya pada zaman itu, tidak terkecuali Seniman Agung, Tan Sri P Ramlee sendiri.

Namun setelah membintangi hampir 20 buah filem Kasma bertekad meninggalkan dunia seni pada tahun 1992. Di usia tuanya, beliau banyak menghadapi masalah kesihatan dan banyak menghabiskan masa menumpukan perhatian terhadap ibadahnya dan duduk bersama anak-anak dan cucunya di kediamannya di Klang Gate, Hulu Klang.

Beliau telah mendirikan rumahtangga dengan dengan Jacob Booty dan dikurniakan lima orang anak. Nama kelima-lima anak beliau diambil bersempena dengan judul filem yang pernah dilakonkannya.

Beliau menghembuskan nafas terakhir pada hari Jumaat, 1 Jun 2007, jam 2 pagi di Hospital Ampang ketika berusia 75 tahun selepas sekian lama menghidap komplikasi paru-paru berair.[2] Jenazah beliau selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Klang Gate, Selangor pada hari yang sama.