Sumbangan Kejuruteraan_elektrik

Sumbangan jurutera elektrik dalam teknologi yang luas termasuk Sistem Kedudukan Sejagat dan penjanaan kuasa tenaga. Mereka mereka bentuk, mengembang, menguji dan menyelia penggunaan sistem elektrik dan alat elektronik. Contohnya, mereka mengendalikan perekaan sistem telekomunikasi, operasi stesen kuasa, pencahayaan dan pendawaian bangunan, perekaan alatan rumah ataupun kawalan msein industri.

Ilmu matematik dan fizik adalah penting dalam bidang kejuruteraan elektrik. Kedua-dua ilmu ini mampu mengira perihal sistem dari segi kuantitatif dan kualitatif. Kini, kebanyakan jurutera menggunakan komputer dalam kerja mereka dan program reka bentuk terbantu komputer sering digunakan semasa mereka sistem elektrik. Namun, kemampuan melakar idea masih penting demi berinteraksi dengan orang lain.

Kebanyakan jurutera elektrik memahami teori litar (iaitu interaksi unsur litar seperti perintang, kapasitor, diod, transistor dan induktor). Teori yang dipraktikkan oleh jurutera bergantung kepada kerja mereka. Sekadar contoh, mekanik kuantum dan fizik keadaan pepejal sesuai diamalkan oleh jurutera yang mengembangkan penyepaduan skala sangat besar (VLSI), tetapi tidak sesuai untuk jurutera sistem elektrik besar. Kemahiran teknikal yang penting untuk seseorang jurutera elektrik ditekankan dalam program pengajian tinggi, dan biasanya membabitkan kemahiran nilai berangka, kecelikan komputer dan kebolehan seseorang memahami konsep, terminologi serta bahasa yangberkaitan dengan kejuruteraan elektrik.

Untuk kebanyakan jurutera, kerja teknikal sebenarnya satu komponen kecil sahaja dalam pekerjaan mereka. Mereka juga dikehendaki menyiapkan tugas seperti membincangkan cadangan dengan klien, menyediakan belanjawan, dan menentukan jadual projek. Jurutera senior mengurus sekumpulan juruteknik dan jurutera lain. Oleh itu, kemahiran pengurusan projek amat penting. Projek kejuruteraan pulan melibatkan dokumentasi, oleh itu kemahiran komunikasi bertulis juga amat penting.

Tempat kerja jurutera juga berbeza mengikut kerja. Seorang jurutera elektrik mungkin bekerja di makmal loji pembikinan semikonduktor, pejabat syarikat perundingan ataupun tapak lombong. Semasa berada di tempat kerja, jurutera elektrik mungkin menyelia dan mengurus sekumpulan individu, iaitu ahli sains, ahli elektik, pengatur cara komputer dan jurutera lain.