Subdisiplin Kejuruteraan_elektrik

Kejuruteraan elektrik dibahagikan kepada beberapa subdisiplin. Ada jurutera yang memfokuskan terhadap satu subdisiplin sahaja, namun kebanyakannya mempunyai pekerjaan yang melibatkan gabungan satu subdisiplin atau lebih. Bidang seperti kejuruteraan elektronik dan kejuruteraan komputer boleh dianggap bidang diri dan bukan subdisiplin kejuruteraan elektrik.

Kuasa

Rencana utama: Kejuruteraan kuasa

Kejuruteraan kuasa melibatkan penjanaan, penghantaran, dan pengagihan elektrik serta reka bentuk alat-alat berkenaan. Alat-alat termasuklah pengubah, penjana elektrik, motor elektrik dan elektronik kuasa. Di seluruh dunia, kerajaan negara masing-masing menyenggara suatu rangkaian elektrik yang dikenali sebagai grid kuasa yang menghubungkan beberapa penjana elektrik dengan pengguna elektrik yang dijana. Pengguna membeli tenaga daripada grid, agar tidak perlu membelanjakan kos yang mahal untuk menjana elektrik sendiri. Jurutera kuasa mereka dan menyenggara grid kuasa serta sistem kuasa yang berhubung dengan grid.

Kawalan

Kejuruteraan kawalan menumpu kepada pemodelan sistem dinamik dan reka bentuk pangawal yang mengakibatkan sistem berfungsi seperti diinginkan. Jurutera kawalan menggunakan alat seperti litar elektrik, pemproses isyarat digital, mikropengawal dan pengawal logik boleh atur cara (PLC). Kejuruteraan kawalan boleh diaplikasikan secara luas dari sistem penerbangan dan perejanan syarikat penerbangan komersial ke kawalan jelajah dalam automobil. Bidang ini juga penting dalam pengautomatikan industri.

Jurutera kawalan sering menggunakan suap balik dalam mereka bentuk sistem kawalan. Contohnya, laju sesebuah automobil yang mempunyai kawalan jelajah sentiasa dipantau dan disuap balik kepada sistem yang melaraskan output kenderaan mengikut suap balik.

Elektronik

Kejuruteraan elektronik melibatkan perekaan dan pengujian litar elektronik yang menggunakan komponen seperti perintang, kapasitor, induktor, diod dan transistor demi mencapai fungsi tertentu.

Sebelum Perang Dunia II, bidang ini dikenali sebagai kejuruteraan radio dan menumpu kepada telekomunikasi dan radar, radio komersial dan televisyen. Selepas Perang, alat pengguna mula dicipta, dan bidang ini berkembang merangkumi televisyen moden, sistem audio, komputer dan mikropemproses.

Sebelum penciptaa litar bersepadu pada 1959, litar elektronik terdiri daripada komponen berpisah yang boleh diubah oleh manusia. Litar jenis ini mengisikan ruang yang besar, menggunakan kuasa yang banyak serta tidak mempunyai kelajuan yang tinggi. Litar bersepadu pula mengandungi berjuta-juta komponen elektrik kecil dalam satu cip saiz syiling. Mereka merupakan benda asas komputer dan alat elektronik berkuasa tinggi hari ini.

Mikroelektronik

Rencana utama: Mikroelektronik

Kejuruteraan mikroelektronik merupakan perekaan komponen litar elektronik kecil dalam liat bersepadu atau komponen elektrik lain. Komponen mikroelekronik yang biasa termasuk transistor semikonduktor, walaupun semua komponen boleh dicipta pada saiz mikroskop.

Komponen mikroelektronik dibentuk dengan membikinkan wafersemikonduktor secara kimia untuk mendapat pengangkutan cas elektrik dan kawalan arus yang diinginkan. Bidang ini juga mempunyai kemahiran dalam kimia, sains bahan dan mekanik kuantum.

Pemprosesan isyarat

Rencana utama: pemprosesan isyarat

Pemprosesan isyarat melibatkan analisis dan pengolahan isyarat. Isyarat analog berubah dengan berterusan mengikut maklumat, isyarat digital pula berubah mengikut sesiri nilai berpisah yang mewakili maklumat. Pemprosesan isyarat analog melibatkan amplifikasi atau penapisan isyarat audio untuk alatan audio ataupun pemodulan dan penyahmodulan isyarat untuk telekomunikasi. Pemprosesan isyarat digital melibatkan pemampatan, pengesanan ralat serta pembetulan isyarat tersampel digital.

Telekomunikasi

Rencana utama: Kejuruteraan telekomunikasi

Kejuruteraan telekomunikasi melibatkan penghantaran maklumat menerusi saluran seperti kabel coax, gentian optik dan ruangan bebas. Penghantaran merentasi ruangan bebas memerlukan maklumat disimpan dalam gelombang pengangkut demi mengubah maklumat kepada frekuensi pengangkut yang sesuai untuk penghantaran, dan ini dikenali sebagai pemodulan. Teknik pemodulan analog yang lazim digunakan ialah pemodulan amplitud (AM) dan pemodulan frekuensi (FM).

Setelah ciri-ciri penghantaran sistem ditentukan, jurutera telekomunikasi mereka alat penghantar dan pemerima yang diperlukan oleh sistem. Kedua-dua ini kadangnya digabungkan menjadi alat komunikasi dua hala, iaitu penghantar-terima. Penggunaan kuasa dan kekuatan isyarat harus dipertimbangkan dalam perekaan penghantar. Kalau isyarat penghantar tidak cukup kuat, maklumat dalam isyarat akan dirosakkan oleh hingar.

Kejuruteraan pengalatan

Senapang radar

Kejuruteraan pengalatan melibatkan perekaan alat untuk menyukat kuantiti fizikal seperti tekanan, aliran dan suhu. Perekaan alatan tersebut memerlukan pemahaman fizik yang mendalam serta melebihi keelektromagnetan. Contohnya, senapang radar menggunakan kesan Doppler untuk mengukur laju kenderaan bergerak. Termogandingan pula menggunakan kesan Peltier-Seebeck untuk mengukur perbezaan suhu antara dua tempat.

Pengalatan tidak digunakan sendiri, malah sebagai penderia sistem eletrik yang lebih besar. Contohnya, termogandingan digunakan untuk mengekalkan suhu sesebuah relau. Oleh itu, kejuruteraan pengalatan dianggap sebagai "sejawat" kejuruteraan kawalan.

Komputer

Rencana utama: Kejuruteraan komputer

Kejuruteraan komputer melibatkan perekaan komputer dan sistem komputer. Bidang ini termasuk perekaan perkakasan baru, PDA baru atau penggunaan komputer untuk mengawal loji industri pembuatan. Jurutera komputer juga mereka perisian sistem. Namun, perekaan sistem perisian kompleks tergolong dalam kejuruteraan perisian, yang dianggap asing daripada kejuruteraan komputer. Jurutera komputer hari ini juga terlibat dalam seni bina komputer, iaitu penciptaan alat baru seperti konsol permainan video dan pemain DVD.