Terminologi Kenderaan_elektrik_hibrid

Jenis-Jenis Sistem Kuasa

HEV boleh dikelaskan berdasarkan kepada cara bagaimana kuasa disalurkan ke sistem pemanduan (drive train):

  • Di dalam hibrid selari (parallel hybrid), ICE dan motor elektrik kedua-duanya disambungkan kepada transmisi mekanikal dan secara serentak, boleh memindahkan kuasa untuk memacu roda, biasanya melalui transmisi konvensional. Sistem "Bantuan Motor Bersepadu"(Integrated Motor Assist) Honda adalah contoh sebagaimana yang didapati dalam Insight, Civic, Accord dan juga pemula-alternator sistem (Hibrid BAS) dijumpai di hibrid Chevrolet Malibu adalah contoh pengeluaran hibrid selari. Pada masa ini, pengkomersilan hibrid selari menggunakan motor elektrik tunggal dan kecil (<20 kW) dan pak bateri kecil oleh kerana motor elektrik tersebut tidak direkabentuk untuk menjadi sumber tunggal untuk kuasa gerak daripada pelancaran. Hibrid selari juga mampu untuk melakukan pembrekkan janaan semula (regenerative braking) dan ICE juga boleh bertindak sebagai sebuah generator untuk pengecas tambahan. Hibrid selari adalah lebih cekap berbanding kenderaan bukan hibrid ketika keadaan henti-dan-jalan dan ketika pengoperasian di lebuh raya di mana motor elektrik tersebut berfungsi sebagai penyumbang tambahan.
  • Dalam hibrid sesiri, hanya motor elektrik memacu sistem pemanduan, dan ICE berfungsi sebagai generator untuk menggerakkan motor elektrik atau untuk mengecas bateri. Pak bateri boleh dicas melalui pembrekkan janaan semula atau melalui ICE. Hibrid sesiri selalunya mempunyai ICE yang lebih kecil dan pak bateri yang lebih besar berbanding hibrid selari, yang mana membuatkan mereka lebih mahal daripada selari. Konfigurasi ini membuatkan hibrid sesiri lebih cekap dalam pemanduan kota. Chevrolet Volt adalah hibrid plug-in bersiri, walaupun General Motor memilih untuk menggambarkan Volt sebagai sebuah kenderaan elektrik dilengkapi dengan ICE "pelanjutan jarak" (range extending) berkuasa petrol dan oleh itu digelar "Kenderaan Elektrik Pelanjutan Jarak"(Extended Range Electric Vehicle) atau EREV.
  • Hibrid kuasa-terpisah (power-split) mempunyai manfaat gabungan antara ciri-ciri siri dan selari. Sebagai hasilnya, secara keseluruhan mereka lebih cekap, kerana hibrid sesiri cenderung untuk lebih cekap pada kelajuan yang rendah dan selari lebih cekap pada pemanduan laju. Walau bagaimana pun, kos hibrid kuasa-terpisah lebih mahal berbanding selari yang tulen. Contoh untuk sistem hibrid kuasa-terpisah (dirujuk juga sebagai "siri-selari") termasuk model semasa Ford, General Motors, Lexus, Nissan dan Toyota.

Jenis berdasarkan tahap hibridnisasi

Hibrid penuh, kadangkala digelar hibrid kuat (strong hybrid), adalah sebuah kenderaan yang boleh bergerak dengan menggunakan hanya enjin, hanya bateri, atau gabungan kedua-duanya. Sistem hibrid Ford, Pemanduan Sinergi Hibrid Toyota dan Teknologi Mod-Duaan General Motors/Chrysler adalah sistem hibrid penuh. Toyota Prius, Ford Escape Hybrid, dan Ford Fusion Hybrid adalah contoh-contoh hibrid penuh, oleh kerana kereta-kereta ini boleh digerakkan oleh kuasa bateri sahaja. Pak bateri yang besar dan berkapasiti tinggi diperlukan untuk operasi hanya-bateri. Kenderaan-kenderaan ini mempunyai laluan kuasa terpisah membenarkan fleksibiliti yang lebih dalam sistem pemanduan dengan mengubah secara dalaman kuasa mekanikal dan elektrikal, dengan mengambil beban kos kerumitan.

Hibrid sederhana, adalah sebuah kenderaan yang tidak boleh dipandu hanya dengan menggunakan motor elektrik, kerana motor elektrik tidak mempunyai kuasa yang cukup untuk menggerakkan kenderaan tersebut secara bersendirian. Hibrid sederhana hanya menyediakan sebahagian daripada ciri-ciri yang ditemui dalam teknologi hibrid, dan pada kebiasaannya mencapai penjimatan penggunaan bahan api yang terhad, sehingga 15 peratus dalam pemanduan bandar dan 8 hingga 10 peratus kitaran keseluruhan. Sebuah hibrid sederhana pada asasnya adalah sebuah kenderaan konvensional dengan motor pemula yang lebih besar, yang membenarkan enjin tersebut untuk dimatikan apabila kereta tersebut coasting, membrek, atau berhenti, namun dapat mula semula dengan cepat dan lancar. Motor tersebut biasa diletakkan di antara enjin dan transmisi, mengambil tempat pengubah torque (torque converter), dan digunakan untuk membekalkan kuasa rejangan tambahan ketika memecut. Aksesori boleh terus untuk beroperasi dengan kuasa elektrik apabila enjin petrol dimatikan, dan sebagaimana seperti rekabentuk hibrid lain,motor tersebut digunakan untuk pembrekkan janaan semula untuk menawan kembali tenaga. Jika dibandingkan dengan hibrid penuh, hibrid sederhana mempunyai bateri yang lebih kecil dan motor/generator yang lebih kecil dan lemah, yang mana membenarkan pembuat untuk mengurangkan kos dan berat.

Hibrid awal Honda termasuk generasi pertama Insight menggunakan rekabentuk ini, memanfaatkan reputasi mereka merekabentuk enjin petrol kecil yang efektif. Sistem mereka ini digelar Bantuan Motor Bersepadu (Integrated Motor Assist - IMA). Bermula dengan 2006 Civic Hybrid, Sistem IMA kini boleh menggerakkan kenderaan tersebut dengan hanya menggunakan kuasa elektrik ketika penyusuran berkelajuan sederhana (medium speed cruising). Contoh lain adalah 2005-2007 Chevrolet Silverado Hybrid, trak pikap bersaiz penuh. Chevrolet mampu untuk memperolehi penambahbaikan untuk kecekapan bahan api Silverado dengan mematikan dan memulakan semula enjin atas-permintaan dan menggunakan pembrekkan janaan semula. General Motors juga telah menggunakan teknologi Hibrid BAS sederhana dalam model yang lain seperti Saturn Vue Green Line, Saturn Aura Greenline dan Malibu Hybrid.

Hibrid Plug-in

Sebuah kenderaan hibrid plug-in (PHEV) adalah sebuah kenderaan dengan bateri boleh cas semula di mana bateri tersebut boleh dikembalikan kepada keadaan cas penuh dengan menghubungkan plug kepada sumber elektrik luar. Sebuah PHEV berkongsi ciri-ciri yang sama dengan kenderaan hibrid konvensional yakni ia mempunyai motor elektrik dan juga enjin pembakaran dalaman. Persamaan PHEV dengan kenderaan elektrik pula adalah ia juga mempunyai plug untuk disambungkan kepada grid elektrik. PHEV mempunyai jarak elektrik keseluruhan (all-electric range) jika dibandingkan kepada hibrid gas-elektrik. Ia juga menghapuskan "kegelisahan jarak" (anxiety range) yang sering dikaitkan dengan kenderaan elektrik kerana enjin pembakaran berfungsi sebagai sandaran ketika kuasa bateri habis.[5]