Kegunaan Kenderaan_utiliti_sukan

Kegunaan di pedalaman

Di Malaysia, SUV lebih popular di Malaysia Timur berbanding Semenanjung Malaysia, khususnya di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak yang tiada jaringan jalan raya berturap serta hanya dihubungkan melalui jalan tanah merah yang kurang baik. Ruang dalamannya boleh jadi lebih ringkas berbanding keadaan asalnya supaya lebih mudah dibaiki berikutan kekurangan alat ganti di pedalaman. Terdapat juga sebilangan pemilik SUV di kawasan pedalaman yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan ulang-alik dari pedalaman ke pekan terdekat dengan mengenakan sedikit bayaran.

Di kawasan pertanian seperti Cameron Highlands, petani selalunya menggunakan SUV, lori ringan atau lori pikap untuk mengangkut hasil pertanian mereka dari ladang. Ia berikutan kebanyakan jalan pertanian adalah tidak berturap.

Sebagai kenderaan rekreasi dan sukan permotoran

Sejak pengenalan SUV, terdapat budaya sekumpulan pemilik SUV yang gemar menjelajah di kawasan hutan tebal sebagai satu aktiviti rekreasi kerana gemarkan cabaran melalui permukaan jalan yang kurang baik. Biasanya ia dilakukan secara berkumpulan supaya bantuan boleh disalurkan sekiranya ada kenderaan peserta yang bermasalah ataupun tersangkut.

Selain itu, SUV yang diubahsuai juga boleh digunakan dalam sukan bermotor khususnya rali. Rali Paris-Dakar adalah salah satu kejohanan rali yang sering dikaitkan dengan penyertaan SUV.