Kelakuan Kera_bekantan

Kelakuan sosial

Bekantan melompat (gambar komposit), Teluk Labuk, Sabah, Malaysia

Monyet bekantan umumnya hidup secara berkawanan yang terdiri daripada seekor jantan dewasa, beberapa ekor betina dewasa bersama anak-anaknya.[14][15][16] Juga terdapat kelompok semua jantan.[17] Sesetengah individu hidup secara tunggal, kebanyakannya jantan.[18] Setiap kawanan monyet hidup dalam julat kediaman yang bertindan dengan satu sama lain dan kurang mengendahkan kewilayahan,[14][15] dalam masyarakat belah lakur di mana semua kawanan berhimpun di tapak tidur pada waktu malam.

Kawanan-kawanan bekantan juga membentuk ikatan longgar sesama sendiri iaitu sekejap bergabung dan sekejap berpecah untuk tujuan tertentu, dan adakalanya kawanan-kawanan juga bergabung untuk mengawan dan merapi.[14][15][16] Bekantan berhimpun dan bersiar sekawanan pada waktu siang, sedangkan individu hanya merapi dan bermain dengan ahli sekawanan sahaja.[16]

Kawanan satu jantan biasanya terdiri daripada 9–19 ekor individu sedangkan ikatan boleh terbentuk daripada sebanyak 60 ekor.[14][18] Kekasaran sesama bekantan juga berlaku tetapi jarang-jarang sekali ganas.[19] Tuntasnya, ahli seikatan cukup bertoleransi dengan satu sama lain.

Terdapat tatatingkat penguasaan linear sesama betina.[15] Bekantan jantan dalam kawanan satu jantan boleh kekal dalan kumpulannya selama enam ke lapan tahun. Nampaknya penghuni jantan bersilih ganti tanpa sebarang kekasaran.[17] Bekantan jantan sebaik cukup umur meninggalkan kawanan kelahirannya untuk menyertai kawanan semua jantan.[14][18] Sesetengah yang betina juga meninggalkan kawanan kelahiran untuk mengelakkan anaknya daripada dibunuh atau pembiakbakaan dalam, membendung perebutan makanan, atau menaiki status sosial.[17][18]

Pembiakan

Bekantan betina menjadi matang seks pada umur lima tahun. Ia mengalami "kebengkakan seksual" yang mana alat kelaminnya menjadi kemerahan.[17][20] Di suatu tapak, pengawanan biasanya diadakan dalam bulan Februari ke November, manakala kelahiran berlaku dalam bulan Mac ke Mei.[21] Persetubuhan biasanya diadakan selama kira-kira setengah minit,[15][17] bila mana si jantan melekap di atas belakang si betina dengan mencekau buku lima atau dadanya.[15] Kedua-dua jantina menggalakkan pengawanan tetapi tidak sentiasa berjaya.[20] Ketika memikat, kedua-dua jantina bermuncung muka. Selain itu, adakalanya si jantan bersuara dan si betina pula menayangkan punggung.[14][20][21] Pasangan mengawan adakalanya diusik oleh bekantan yang "remaja" atau hampir dewasa.[20] Bekantan juga boleh bertunggangan tanpa tujuan membiak, seperti untuk bermain atapun hubungan sama jantina. Tempoh bunting biasanya dalam 166–200 hari.[21] Bekantan betina biasanya beranak pada waktu malam atau fajar. Kemudian ibu bekantan memakan urinya dan menjilat anaknya hingga bersih.[22] Anak bekantan mula mengambil makanan pejal pada umur enam minggu dan bercerai susu pada umur tujuh bulan. Hidung bekantan jantan mula tumbuh dengan perlahan hinggalah umur dewasa. Ibu bekantan membenarkan ahli kawanan lain mendukung anak kecilnya.[15][21][22] Apabila penghuni jantan diganti dalam kawanan satu jantan, maka anak bekantan berdepan dengan pembunuhan.[23]

Komunikasi

Monyet bekantan dikenali dengan pelbagai ragam suaranya. Untuk menyampaikan khabar kawanan, si jantan mengeluarkan bunyi kericau. Juga terdapat bunyi kericau khas untuk menenteramkan anak. Bekantan jantan juga mengeluarkan teriakan untuk menandakan bahaya. Kedua-dua jantina mengeluarkan teriakan mengugut yang berbeza. Selain itu, bekantan betina dan muda juga mengeluarkan "teriakan betina" ketika marah.[24] Terdapat bunyi kericauan, tempikan dan deraman dalam pertengkaran sesama bekantan. Bekantan juga bertengkar tanpa suara dengan menggoncang dahan, menayang gigi dan bertegak alat kelamin (bagi yang jantan).[15]