Ekologi Kera_bekantan

Taburan dan habitat

Bekantan muda, Teluk Labuk, SabahMalaysia

Bekantan adalah endemik di pulau Borneo dan terdapat di ketiga-tiga negara yang berwilayah di pulau ini, iaitu Brunei, Indonesia, dan Malaysia.[25] Ia paling umum dijumpai di kawasan pantai dan sepanjang sungai.[14] Spesies ini terhad kepada habitat tanah rendah yang terdedah kepada pasang surut air.[26][27] Ia paling gemar mendiami hutan dipterokarpa, bakau dan bersungai.[14] Ia juga terdapat di hutan paya, paya bantut, hutan pokok getah, dusun getah, hutan bukit batu kapur, paya nipah, paya nibung, hutan paya tinggi, hutan rawa tropika dan cenuram curam.[26] Spesies ini biasanya berdiam dalam lingkungan satu kilometer dari punca air. Bekantan mungkin merupakan antara primat yang paling giat dengan air malah pandai berenang, dengan keupayaan menyelam sejauh 20 m (66 ka) ke dalam air. Ia diketahui berenang menyeberangi sungai.[26] Selain itu, bekantan tertumpu pada kawasan dalam pokok, bergerak dengan keempat-empat kaki dan melompat.[8] Ia juga diketahui terjun dari dahan ke dalam air.[15]

Pemakanan dan kegiatan

Bekantan duduk di atas pokok

Pemakanan bekantan umumnya terdiri daripada pengambilan daun dan buah-buahan secara bermusim.[15] Ia juga sedikit sebanyak mengambil bunga, benih dan serangga sebagai makanan. Sekurang-kurangnya 55 jenis spesies tumbuhan dijadikan makanan bekantan, terutamanya rumpun jambu, bengku dan perupuk gunung".[28] Daun muda digemari daripada daun masak, dan demikian juga buah muda daripada buah masak.[15] Bekantan sebagai pemakan bermusim tertumpu kepada buah-buahan dari Januari hingga Mei dan beralih kepada daun dari Jun hingga Disember.[28] Kawanan biasanya tidur di pokok-pokok bersebelahan.[29] Individu pula cenderung tidur di tepi sebarang sungai yang berdekatan. Bekantan memulakan hari dengan mencari makanan, kemudian berehat di pedalaman. Amalan harian bekantan terdiri daripada berehat, bersiar-siar, menyuap dan menjaga keselamatan.[15] Adakalanya ia mengunyah mamahan untuk melancarkan lagi penghadaman dan pengambilan makanan.[30] Pada waktu senja, bekantan kembali mencari makanan di tepi sungai. Antara pemangsa bekantan ialah buaya, harimau dahan, helang, biawak dan ular sawa. Bekantan menyeberangi sungai di alur sempit atau melompat pokok seboleh-bolehnya, barangkali untuk mengelak dari pemangsa.[31]