Sejarah Kerajaan_perpaduan_(Malaysia)

Di Malaysia, idea pembentukan kerajaan perpaduan pernah dicetuskan oleh Presiden Parti Islam Se-Malaysia, Abdul Hadi Awang pada Februari 2009 ketika pentadbiran Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi agar Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat membentuk sebuah kerajaan tanpa pembangkang[1].

Idea ini mencetuskan kerencaman maklum balas dalam kalangan pemimpin Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Pemimpin Barisan Nasional menyambut idea ini dengan menggambarkan PAS ingin keluar daripada Pakatan Rakyat. Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pula bersetuju untuk menolak idea ini[2]. Idea tersebut telah ditarik balik[1], dan perbahasan mengenainya tidak lagi berbangkit terutama selepas perlantikan Perdana Menteri baharu, Najib Razak[3].

Idea pembentukan kerajaan perpaduan dicetuskan semula oleh Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pascapilihan raya umum 2018 ketika Malaysia ditadbir oleh Pakatan Harapan di bawah Perdana Menteri, Mahathir Mohamad selepas "tiada gabungan parti politik mempunyai majoriti mudah di dalam Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan"[4].