Kontroversi Kereta_api_Maglev

Hingar

Penyokong-penyokong teknologi ini terutamanya syarikat pengeluar telah menyatakan bahawa salah satu kebaikan penggunaan teknologi ini ialah kurangnya hingar yang terhasil daripada kereta api maglev. Transrapid International menegaskan bahawa teknologi ini hampir tidak menghasilkan bunyi kerana ketiadaan sentuhan di antara gerabak dan roda (sistem Transrapid tidak menggunakan roda). Hanya apabila kelajuan sekitar 250-300 km/j dicapai, barulah hingar terhasil akibat rintangan angin. Hingar ini pula adalah sekitar 71 dB(A) yang akhirnya boleh diserap oleh persekitaran, berbanding dengan hingar yang datang daripada kenderaan di tengah-tengah bandar sekitar 80dB(A).[6]

Namun begitu, pada bulan April 2004, sebuah laporan dalam Jurnal Persatuan Akustik Amerika menyatakan bahawa hingar kereta api maglev adalah lebih mengacau berbanding dengan hingar kereta api antara bandar yang menggunakan roda dan lebih kurang sama dengan hingar lalu lintas jalan raya. Perbezaan antara tahap-tahap gangguan maglev dan kereta api konvensional yang serupa ialah 5dB. Ini bercanggah dengan dakwaan penyokong maglev yang mengatakan bahawa keretapi-keretapi maglev mempunyai manfaat akustik berbanding dengan kereta api biasa.[7] Menurut laporan itu, hingar daripada kereta api maglev dicirikan sebagai sangat tinggi dan singkat yang boleh menakutkan orang awam yang berada di bawah landasan. Jenis hingar yang dihasilkan oleh maglev dikatakan serupa dengan enjin jet, berikutan kelajuan dan bentuknya.[7]

Pengintipan korporat dan pencurian teknologi

Dalam satu kejadian serius pada bulan Disember 2004, jurutera-jurutera Cina memasuki bilik penyelenggaraan Transrapid di Shanghai pada waktu tengah malam, dan mengambil ukuran-ukuran kereta api, serta juga memfilemkan seluruh peristiwa tersebut, menurut satu laporan majalah mingguan ekonomi dari Jerman, Wirtschaftswoche. Menurut Wirtschaftswoche juga, insiden ini merupakan satu kes pencurian teknologi. Memburukkan lagi perasaan tidak senang Konsortium Transrapid, Kumpulan Perindustrian Pesawat Chengdu mengumumkan tidak kurang dari dua tahun selepas peristiwa kecurian Transrapid, bahawa mereka telah membangunkan sendiri sebuah teknologi maglev berkelajuan tinggi yang didakwa lebih maju daripada teknologi Transrapid. Ujian dijangka bermula di Shanghai pada lewat tahun 2006. Bagaimanapun, menurut majalah mingguan Jerman, Der Spiegel dalam edisi dalam taliannya, Kumpulan Perindustrian Pesawat Chengdu telahpun membuat penyelidikan teknologi maglev sejak tahun 1986. Hatta, tidaklah diketahui samada teknologi baru kereta api maglev yang akan diuji di Shanghai itu merupakan hasil kecurian teknologi atau penyelidikan mereka yang sebenar ataupun kedua-duanya sekali.[8]

Pada tahun 2001 sebelum maglev Transrapid beroperasi di Shanghai, Syarikat Kenderaan Keretapi Changchun mengumumkan bahawa mereka sedang membangunkan sebuah sistem dan projek maglev yang berasingan di tmur laut China. Syarikat ini merupakan salah satu daripada beberapa syarikat China yang kini sedang menyelidik teknologi maglev secara meluas.

Pengumuman-pengumuman berkenaan teknologi baru sistem maglev oleh China yang bertujuan mengurangkan kos pembinaan landasan sebanyak satu pertiga telah menimbulkan tanggapan buruk di kalangan sebilangan besar pegawai dan pemimpin Jerman terhadap kesediaan China mengawal harta intelektual, tetapi kenyataan-kenyataan akhbar daripada pegawai-pegawai konsortium yang terlibat dilihat sebagai lebih diplomatik. Hal ini dilaporkan oleh penyiar dari Jerman, Deutsche Welle. Dalam laporan yang sama bertarikh 28 April 2006, Deutsche Welle memetik laporan akhbar The China Daily, bahawa Majlis Negara (kabinet China) telah menggalakkan para jurutera seupaya mempelajari dan menyerap teknologi-teknologi asing yang maju di samping membuat inovasi tambahan.[9]

Insiden itu dilihat oleh Edmund Stoiber, Perdana Menteri Bavaria sebagai pencurian teknologi, tidak lama selepas beliau mendapat tahu tentang rancangan-rancangan China yang baru untuk membina kereta api maglev sendiri. Beliau mencadangkan G8 membangkit persoalan pencabulan hak harta intelektual China dalam mesyuarat mereka yang berikut. Sebagai membela diri, Perbadanan Industri Penerbangan China mngeluarkan kenyataan bahawa kereta api maglev buatan sendiri yang dipanggil Zhui Feng adalah teknologi baru yang tidak bersandarkan atau bergantung kepada teknologi asing. Mereka mendakwa bahawa teknologi baru itu bukan sahaja lebih ringan, bahkan merupakan reka bentuk yang jauh lebih maju.[9]