Khamis_Suci

Khamis Suci ialah hari suci dalam agama Kristian yang jatuh pada hari Khamis sebelum perayaan Easter atau Paskah. Hari tersebut memperingati pembasuhan kaki dan Santapan Terakhir Yesus Kristus bersama para Hawarinya seperti yang diceritakan dalam Gospel.[1] "Santapan Terakhir" diceritakan sebagai kali terakhir Yesus meluangkan masa bersama hawarinya (sebelum ditahan dan dihukum atas salib) sambil menceritakan apa yang bakal berlaku. Hari suci ini merupakan hari kelima dalam Minggu Suci menyusuli Rabu Suci dan diikuti oleh Jumaat Suci atau Good Friday.[2]Tarikh perayaan sering diadakan antara 19 Mac dan 22 April, namun tarikh-tarikh tepatnya berbeza bergantung sama ada takwim Gregorius atau takwim Julius digunakan dalam liturgi gereja. Gereja-gereja mazhab Timur menggunakan takwim Julius, maka perayaan disambut antara 1 April dan 5 Mei jika mengikut takwim Gregorius yang dipakai secara meluas sejak awal abad ke-21 ini.