Nama Kolagen

Perkataan "kolagen" berakar dari perkataan Bahasa Yunani "kolla" iaitu gam. Penamaan ini merujuk kepada pembuatan gam pada zaman dahulu kala di mana kulit dan tendon kuda direbus bagi menghasilkan gam haiwan. Teknik pembuatan pelekat kolagen mula-mula dicetuskan masyarakat Mesir purba pada 4,000 tahun dahulu. Orang Asli Amerika pula telah menggunakan gam haiwan pada busur-busur mereka 1,500 tahun yang lalu. Kolagen biasanya akan berubah sifat menjadi gelatin, tetapi ia akan kekal jika ia berada di persekitaran yang kering. Gam haiwan bersifat termoplastik, yakni ia akan melembut dengan sendirinya jika ia melaui pemanasan semula berbanding dengan pelekat sintetik yang diperbuat daripada plastik. Ciri istimewa yang terdapat pada gam haiwan inilah yang menjadikan kegunaannya ideal untuk penghasilan alat-alat muzik yang halus seperti biola dan gitar.